03 July 2011

LARIAN SERENTAK 1MURID 1SUKAN PECAH REKOD MALAYSIA BOOK OF RECORDS (MBOR)



Muhyiddin Yassin bersalaman dengan murid-murid yang menyertai larian
 serentak 1Murid 1Sukan sambil diperhatikan Dr. Zambry Abd. Kadir (kanan)
ketika  pelancaran dasar 1Murid 1Sukan di Taiping, Perak, semalam. 






TAIPING 2 Julai - Larian Serentak 1Murid 1Sukan 1Malaysia yang berlangsung di seluruh negara berjaya mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai larian terbesar yang disertai oleh 4,137,126 pelajar daripada 9,980 buah sekolah.

Larian yang diadakan sempena pelaksanaan dasar 1Murid 1Sukan di Padang Dataran Perbandaran Taiping itu turut disertai Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin awal pagi ini.

Muhyiddin sewaktu berucap pada majlis tersebut menegaskan, sukan merupakan satu platform pembentukan sahsiah pelajar dan memupuk integrasi sosial seiring dengan Falsafah Pendidikan Negara.

"Saya amat berharap acara ini akan menjadi pemangkin ke arah pembudayaan sukan di kalangan semua murid di setiap sekolah di seluruh negara.

"Sehubungan itu, bagi menjayakan matlamat dasar 1Murid 1Sukan, kesedaran serta komitmen yang jitu haruslah ditunjukkan oleh kepimpinan sekolah untuk merealisasikan aspirasi ini dalam masa terdekat," katanya.

Hadir sama Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abdul Ghafar Mahmud.

Dasar 1Murid 1Sukan yang diumumkan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran pada Mac lalu antara lain bertujuan melengkapkan skop pembangunan sukan sekolah dalam melahirkan pelajar seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Terdahulu, Muhyiddin melepaskan seramai 15,000 peserta larian yang terdiri pelajar dan murid daripada 30 sekolah menengah dan 20 sekolah rendah di sekitar bandar ini.

Larian yang bermula seawal 7.45 pagi dan sejauh 1.85 kilometer itu turut disertai oleh para guru dan ibu bapa.

Sumber: Utusan Malaysia

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :