Dalam hidup ini diperlukan sifat rajin, giat, dinamis, serius dan bersungguh-sungguh dalam menjalani segala aktiviti kehidupan lebih-lebih lagi jika seseorang itu berkehendakkan kejayaan.
MALAS adalah satu penyakit yang sangat berbahaya. Apabila penyakit ini telah bersemayam di dalam diri seseorang, maka ia boleh membuatkan seseorang itu tidak mahu melakukan perkara-perkara yang baik dan bermanfaat. Sifat ini juga menjauhkan diri daripada kejayaan dan mencegahnya daripada segala keluhuran dan kemuliaan.
Barang siapa yang ingin berjaya, maka ia mesti giat, bekerja keras, serius dan bersungguh-sungguh, demi untuk meraih satu kemuliaan, berlumba dengan waktu dan bersaing dengan orang ramai. Usaha yang dilakukan dengan malas, tidak akan pernah mendatangkan kejayaan.
Kegagalan majoriti para pelajar bukan disebabkan mereka bodoh dan tidak boleh memahami pelajaran. Sebaliknya ia berkaitan lebih kepada MALAS dalam pembelajaran dan MALAS mengulang kaji pelajaran. Oleh kerana mereka malas dan tidak mahu bersungguh-sungguh, akhirnya mereka gagal.
Ada di kalangan pelajar yang nampak biasa sahaja tetapi mereka mampu menjadi yang terbaik di kalangan rakan-rakan yang lebih cerdas. Mengapa? Tidak lain dan tidak bukan kerana mereka rajin, tabah, bersemangat dan bersungguh-sungguh. Rasa malas dibuang jauh-jauh daripada dalam diri mereka.
Sudah menjadi resam dunia, sesiapa yang rajin, bersungguh-sungguh dan mahu bekerja keras, imbalannya ialah meraih kejayaan. Orang-orang yang pakar dalam sesuatu bidang mengakui bahawa kepakaran mereka bukan disebabkan oleh kecerdasan mereka yang lebih tetapi oleh keseriusan, ketabahan dan kesungguhan mereka. Tidak ada MALAS dalam diri mereka.
Pesan kami: Untuk menggapai kejayaan, JANGANLAH MALAS DAN BERMALAS-MALAS.