04 January 2012

NAK JADI PELAJAR CEMERLANG, BERMULALAH AWAL

Hari ini bermulalah sesi persekolahan tahun 2012. Pastinya pelajar sibuk menyesuaikan diri dengan pelajaran dan sekolah masing-masing. Pelajar cemerlang ialah mereka yang cepat menyesuaikan diri dengan persekitaran dan rakan baru. Ada pelajar yang baru masuk sekolah iaitu mereka di tingkatan satu. Apa sekalipun suasana dan keadaannya, pelajar mestilah berusaha memulakan langkah menuju kecemerlangan pada hari pertama.

Minggu pertama adalah penting kerana masa ini guru sibuk menyusun banyak perkara seperti jadual sekolah, melantik ketua kelas dan penolong, melantik ahli jawatankuasa kelas dan memaklumkan buku tambahan yang perlu dibeli.  Jika pelajar tidak hadir ke kelas, banyak maklumat yang tidak diperoleh dan mereka lambat menyesuaikan diri.

Berikut adalah beberapa langkah yang perlu diambil oleh para pelajar bagi memastikan mereka boleh mencapai kecemerlangan pada tahun 2012 ini:
  1. Tidur awal dan bangun awal. Pelajar perlu cukup segar dan bertenaga apabila berada dalam kelas dan di sekolah. Pelajar yang aktif akan mendapat banyak ilmu dan peluang untuk maju. Ramai pelajar terutamanya pelajar yang tinggal di asrama mengantuk dalam kelas kesan dari kekurangan tidur. Jika tidur awal, pelajar boleh bangun lebih awal, bersiap-siap awal dan ketika menunggu masuknya waktu Subuh sempat membuat sedikit ulangkaji tentang apa yang akan dipelajari pada hari tersebut.
  2. Mulakan dengan niat dan ‘mindset’ seorang juara. Usaha dan tindakan kita bergantung kepada cara fikir kita. Kalau kita rasakan yang kita boleh maka kita pasti melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh.
  3. Sebaliknya jika kita rasakan kita gagal, apa yang dilakukan hanya separuh hati. Ikhlaskan hati belajar kerana mencari ilmu dan kerana Allah. Soal berjaya atau tidak itu bukan urusan kita sebab hak manusia adalah berusaha dan hak Allah adalah menentukannya. Tetapi Allah itu adil. Jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan dengan cara yang betul maka hasilnya pastilah cemerlang.
  4. Pastikan bersarapan pagi. Ramai pelajar ke sekolah tanpa bersarapan. Sarapan bagi seperti mengalas perut dengan sekeping roti dan minum segelas susu sudah mencukupi. Sarapan pagi penting kerana ia mampu mencergaskan minda dan memberikan tenaga. Mereka yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.
  5. Tumpuan sepenuhnya dalam kelas. Kejayaan dalam peperiksaan bermula dari dalam kelas. Ramai pelajar yang tidak memberikan tumpuan di awal sesi persekolahan kerana mereka berfikir apa yang diajarkan itu mudah dan tiada masalah untuk melakukan ulangkaji. Tetapi, jika pelajar tidak memberikan tumpuan maka mereka tidak faham apa yang diajarkan. Jika apa yang dipelajari hari ini tidak difahami maka sukarlah untuk memahami apa yang diajarkan esok hari kerana memahmi prinsip asas, istilah, teori dan sebagainya itu penting. Dengan memberikan tumpuan dari awal pelajar boleh mengenalpasti kelemahan dan masalahnya dalam matapelajaran sebelum ia menjadi serius.
  6. Banyak bertanya dan selesaikan segala masalah dan perkara yang tidak faham segera. Satu tabiat pelajar kita ialah malu atau takut untuk bertanya. Sangka mereka apabila bertanya nanti dilabel sebagai bodoh, cuba mencari perhatian, gila glamer dan sebagainya. Akhirnya, mereka lebih selesa mendiamkan sahaja dan merelakan dirinya tidak tahu. Pelajar sebenarnya punya beberapa pilihan untuk bertanya. Satu atau dua soalan mungkin boleh terus ditanya dalam kelas agar pelajar lain juga mendapat manfaat daripada apa yang disampaikan guru nanti. Bagaimanapun, kalau soalan itu banyak, eloklah dibuat temu janji dengan guru dan berbincang dengannya di luar waktu kelas.
  7. Sampai saja di rumah, siapkan dahulu kerja sekolah. Jadikan ini sebagai satu tabiat. Ramai pelajar tidak menyiapkan kerja sekolah kerana mereka tidak meletakkannya sebagai keutamaan. Malah, mereka tidak fikir kerja sekolah itu penting. Tujuan guru memberikan kerja sekolah bukanlah bagi menyusahkan, tetapi sebaliknya bagi memastikan pelajar membuat ulang kaji dan melakukan latihan bagi memperkukuhkan lagi kefahamam mereka apa yang diajarkan.
  8. Rancang masa dan jadual belajar. Tanpa pengurusan masa yang betul pelajar sukar untuk cemerlang. Sebagai seorang pelajar banyak perkara dan aktiviti yang mesti dilakukan disamping masa untuk diri sendiri.
  9. Aktiviti seperi menyiapkan kerja sekolah, kelas tuisyen, kelas agama, ulang kaji, kokurikulum, beriadah, keluarga dan sebagainya perlu diatur dengan baik agar tidak menjejaskan prestasi akademik.
  10. Di samping itu jadual belajar juga perlu diatur bagi memastikan semua subjek selesai diulangkaji sebelum waktu peperiksaan nanti. Dengan merancang awal, pelajar dapat lihat pergerakannya sepanjang tahun dan ke mana hala tujunya tahun ini.
  11. Ulangkaji awal. Cuba untuk lakukan ulang kaji seawal mungkin. Usah tunggu sehingga apa yang dipelajari sudah terlalu banyak baru mahu memulakan proses ulangkaji itu. Belajar awal adalah bagi memahami, menguasai dan menyediakan nota peperiksaan. Apa yang dibaca hari ini mungkin lupa esoknya. Itu perkara biasa. Tetapi dengan sering mengulang kaji pelajar akan mudah mengingatinya dan tersimpan dalam memori jangka panjang. Pelajar yang melakukan ulang kaji awal akan lebih tenang, ceria dan teratur hidupnya.
  12. Bagi memulakan langkah menjadi pelajar cemerlang pelajar, seseorang itu memerlukan satu dorongan agar tercetusnya momentum untuk bertindak ke arah kecemerlangan itu.
  13. Seorang pelajar yang cemerlang juga perlu seimbang daripada segi pembangunan minda, jiwa dan rohani. Justeru, ibu bapa perlu berkorban sedikit bagi memastikan anaknya bersedia menghadapi 2012 ini seawal mungkin.

Lebih baik bermula awal....

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :