20 January 2012

TAHNIAH PELAJAR-PELAJAR 8A PMR 2011

Inilah empat orang pelajar yang cemerlang dalam PMR 2011. Masing-masing memperolehi 8A dalam semua subjek. Pihak sekolah amat berbangga dengan pencapaian mereka. Tahniah! Dengan kejayaan mereka, diharapkan menjadi pemangkin kepada pelajar-pelajar lain untuk meraih kecemerlangan dalam akademik.


Nur Amira bt Tohiran

Saya berasa bersyukur telah mencapai target yang saya tetapkan. Walaupun pada mulanya saya rasa agak kurang yakin dengan target saya, namun setelah saya mengulang kaji dan belajar, saya semakin yakin untuk mendapat 8A.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada guru-guru, kedua ibu bapa dan rakan-rakan saya kerana telah banyak membantu, mendorong dan menasihati saya sehingga saya mendapat 8A.

Untuk mendapat keputusan yang cemerlang bukanlah mudah. Kita mestilah berusaha dan belajar bersungguh-sungguh. Hormati setiap guru sama ada yang mengajar atau yang tidak mengajar kita.

Namun begitu saya masih mengharapkan doa dan kasih sayang daripada semua guru untuk membantu dan mengajar saya untuk mendapat keputusan yang lebih cemerlang dalam peperiksaan SPM nanti dengan target saya iaitu 9A+ dan mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang professor.


Nurul Najwa bt Zambere 
Pertama-pertama saya rasa amat bersyukur kerana telah mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR 2011. Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada ibu bapa saya yang menjadi pendorong utama untuk saya mencapai kecemerlangan ini. Terima kasih juga buat guru-guru yang telah mengajar dan mendidik saya bermula dari tingkatan satu hingga tingkatan 3.

Untuk mendapat keputusan 8A dalam PMR atau mahu mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan bukanlah mudah. Usaha keras dan berterusan amat diperlukan. Tetapi cara pembelajaran yang betul juga diperlukan. Banyakkan membuat latih tubi dan perhatian atau tumpuan ketika guru mengajar amat penting.

Cara belajar seperti belajar sambil mendengar muzik boleh membantu dalam pembelajaran. Belajar sambil mendengar muzik dapat mengurangkan tekanan. keadaan persekitaran yang tenang juga turut membantu.

Akhir kata, saya berharap cita-cita saya untuk menjadi seorang jurutera akan tercapai. Terima kasih kepada semua pihak yang telah membantu saya sama ada secara langsung atau tidak secara langsung.


Mohd Nuril Azim b Bahrom
Assalamualaikum dan selamat sejahtera. Saya Mohd Nuril Azim b Bahrom pelajar cemerlang 8A PMR bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah diberi peluang untuk menyatakan beberapa kata untuk anda semua.

Saya sangat bersyukur kerana segala usaha dan ketekunan saya berbalas dengan mendapat keputusan 8A di dalam PMR yang lalu. Suka saya katakan bahawa anda juga boleh berjaya seperti saya kerana betullah kata-kata 'usaha tangga kejayaan' dan perkara inilah yang saya lakukan dan anda juga harus lakukan untuk berjaya. Anda juga haruslah tetap dan istiqamah dalam belajar walaupun mendapat keputusan yang tidak diharapkan. Saya juga pernah mengalami perkara yang sama.

Akhir kata, saya berharap anda akan mengikut jejak langkah saya dan berharap anda boleh melakukan lebih baik daripada saya. Saya juga meminta berkat doa anda akan kejayaan saya untuk mencapai cita-cita menjadi seorang jurutera yang berjaya.

Saya amat berterima kasih kepada guru-guru dan ibu bapa saya kerana telah mendidik saya dengan cemerlang.


Aina Afifah bt Yusuff
Saya amat bersyukur dengan kejayaan ini. Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada kedua ibu dan bapa saya yang memberi dorongan kuat kepada saya dalam soal pelajaran. Kepada guru-guru SMKTK, saya juga amat berterima kasih kerana mengajar dan mendidik saya terutamanya pada waktu-waktu telah hampir pada hari peperiksaan.

Saya akan berusaha lebih kuat bagi menghadapi SPM dalam masa dua tahun lagi. Untuk mencapai kecemerlang bukanlah senang. Kita terpaksa berkorban masa, tenaga, keinginan dan keselesaan jika mahu meraih kejayaan terutamanya dalam bidang akademik.

Saya berseru kepada diri saya sendiri, kepada  rakan-rakan saya dan kepada pelajar-pelajar di SMKTK agar terus berusaha gigih untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan dan seterusnya dapat mencapai cita-cita dan impian kita. Insyaallah.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :