22 March 2012

HALA TUJU LEPASAN SPM

Debaran menanti keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2010 telah berakhir dengan pengumuman rasmi keputusan peperiksaan berkenaan pada 23 Mac 2011 yang lalu. Apa yang telah tercatat pada slip keputusan berkenaan tentunya tidak dapat diubah lagi. Sebaliknya apa yang lebih penting adalah menentu haja tuju seterusnya berdasarkan minat, cita-cita dan keputusan yang diperolehi.

Maklumat yang tepat dan terkini diperlukan untuk membuat pilihan terbaik. Sepatutnya sebelum keputusan keluar lagi, pelajar sudah pun memiliki gambaran terhadap tindakan mereka selepas keputusan diumumkan. Oleh itu maklumat yang lengkap perlu dikumpul dan diperolehi sewaktu menunggu keputusan peperiksaan lagi.

Sukar untuk membuat keputusan tepat yang bakal menentukan masa depan sendiri tanpa panduan yang lengkap. Akhirnya memilih bidang-bidang tertentu dalam keadaan tergega-gesa… Keputusan pada peringkat ini sangat penting kerana kebanyakan bidang yang dipilih selepas SPM bakal menentu hala tuju kerjaya yang sebenar. Pemilihan hendaklah berdasarkan minat dan kecenderungan selain keputusan peperiksaan. Awas.. jangan ikut-ikut kawan.

Berikut adalah sedikit maklumat mengenai pilihan kerjaya/halatuju selepas SPM, mungkin boleh memberi sedikit gambaran kepada pelajar lepasan SPM:
  1. Universiti - Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bolehlah memilih universiti sebagai destinasi mereka selepas SPM. Jika anda ingin ke universiti, anda harus memohon UPU lepasan SPM/setaraf sebelum ditawarkan program diploma atau asasi di mana-mana IPTA di Malaysia.
  2. Kolej Matrikulasi - Selain program Asasi, anda boleh memohon matrikulasi samada dalam aliran sains (sains hayat & sains fizik), perakaunan dan kejuruteraan.. Seperti juga Asasi, selepas Matrik, boleh apply UPU lagi di mana anda akan memilih course untuk pengajian ijazah anda. Anda boleh mengikuti program setahun yang mana dapat menjimatkan masa untuk mengikuti program ijazah. Ada juga program matrik 2 tahun, bergantung kepada keputusan SPM anda. Pelajar lulusan matrikulasi yg mendapat PNGK 2.00 ke atas adalah layak meneruskan pengajian di dalam dan luar negara dan diberi keutamaan oleh semua IPTA (kecuali IPTA yang mempunyai program asasi sendiri) untuk menyambung pengajian.
  3. Luar Negara - Pelajar yang minat dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, boleh berbuat demikian. UK, US, Australia, New Zealand, Indonesia, India, Japan, Korea, France, Egypt, Russia, Ireland dan Canada antara negara-negara yang menjadi pilihan pelajar-pelajar Malaysia.
  4. Politeknik dan apa jua Program Teknikal dan Latihan - Jangan berputus asa sekiranya anda gagal UPU dan matrik. Anda masih boleh melanjutkan pelajaran di politeknik-politeknik seluruh Malaysia. Bila dah dapat result SPM, mohon cepat-cepat sebelum tutup tarikh permohonan. Di politeknik, anda boleh mohon sijil atau diploma. Difahamkan ada 3 politeknik yang bakal dinaik taraf menjadi universiti. Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) antara politeknik yang bagus dari segi akademiknya. Banyak juga program yang ditawarkan di ILP dan ILJTM, MLPK dan sebagainya. Harus diingat bahawa taraf sijil adalah sama dengan SPM cuma gaji permulaan lebih sikit. Diploma sama dengan STPM, tapi gaji permulaan lebih sikit.
  5. Kolej-kolej - Kalau beli newspaper sekarang ni, banyak iklan-iklan kolej swasta. Tapi kena pandai pilihlah kolej mana yang bagus. Kalau nak sangat masuk kolej, saya rekemenkan anda masuk kolej-kolej yang ada nama sikit seperti Kolej Mahsa atau Masterskill. Nanti masuk kolej yang tak diiktiraf MQA (dahulunya LAN), susah nak dapat kerja sudahlah kos pengajiannya agak tinggi. Anda boleh juga mohon medical courses seperti Farmasi, Teknologi Makmal Perubatan dan Sains Kesihatan sebab banyak juga peluang pekerjaan menanti anda diluar sana. Ada juga kolej yang menawarkan program diploma bersekutu dengan IPTA-IPTA di Malaysia. Contohnya di Kolej Shahputra ada ditawarkan program diploma UiTM. Anda juga boleh mohon Kolej Komuniti. Buatlah pilihan yang bijak dan berhati-hati.
  6. Tingkatan 6 - Ramai juga pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan 6 sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM. Kenapa tingkatan 6 kurang popular? Bila masuk tingkatan 6, rasa macam budak-budak sekolah lagi kan? Lagipun biasanya pelajar memilih tingkatan 6 setelah gagal memasuki IPT. Kena pakai uniform sekolah, kena pergi ke sekolah, ada perhimpunan dan sebagainya. Tak macam di universiti, matrikulasi atau kolej yang ada sedikit kelonggaran. Dengan keputusan yang baik, lepasan STPM boleh terus buat Ijazah pertama.
  7. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) - Ramai yang tidak tahu kewujudan website SPA dan ada juga yang tak tahu langsung pasal SPA ini. SPA ni boleh anda mohon kerja-kerja tertentu seperti jururawat, juru x-ray, juruaudit, juruukur dan sebagainya. Jika permohonan anda berjaya, anda akan ditemuduga. Lulus temuduga barulah anda akan ditawarkan melanjutkan pengajian di kolej-kolej kejururawatan. Untuk kerja selain jururawat, saya tak berapa pasti.
  8. Akademi Laut Malaysia (ALAM) - Sesiapa yang berminat untuk melibatkan diri dengan dunia pekerjaan yang lebih mencabar, bolehlah mohon Akademi Laut Malaysia (ALAM).
  9. Kursus Ketenteraan - Bagi sesiapa yang berminat dengan aktiviti lasak serta tahan dengan cabaran dan dugaan fizikal yang tinggi, bolehlah membuat permohonan ini. Anda boleh memohon untuk memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia… Pelajar yang diterima masuk akan mendapat elaun sepanjang pengajian tersebut. Lepasan SPM juga boleh mohon pengajian peringkat Ijazah di Akademi Tentera Malaysia (ATMA).
  10. Kursus Penerbangan - Mesti ramai yang berminat dengan kursus ini.Kursus ini merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli-ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan. Kerjaya seperti juruterbang, pramugari dan pramugara ini lebih kepada di awangan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.
  11. IPG - Bagi mereka yang berminat menceburi bidang perguruan bolehlah memohon kerjaya ini. Kini peluang pekerjaan masih luas di bidang perguruan dan mudah sedikit naik pangkat berbanding kebanyakan jabatan lain. Malah kerjaya ini akan memberi kepuasan sekiranya anda ingin berbakti kepada anak bangsa kelak. Walaupun agak mencabar serta bebanan tugas yang bakal ditempuhi, perkara ini umpama seperti alah bisa tegal biasa. Jadi bekerjalah dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya dan berguna untuk masyarakat dan negara kelak.
  12. Dan lain-lain lagi…

Sumber maklumat mestilah tepat supaya pilihan yang dibuat adalah tepat, bidang yang diceburi paling sesuai dengan pelajar, diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan mempunyai pasaran pekerjaan yang tinggi kelak. Antara sumber yang boleh anda rujuk adalah kaunselor di sekolah. Kaunselor di sekolah sentiasa diberi pendedahan mengenai maklumat terkini pemilihan kerjaya dan peluang-peluang menyambung pelajaran. Anda juga boleh merujuk rakan-rakan senior yang berpengalaman, mengunjungi pameran-pameran dan carnival pendidikan, mengunjungi laman-laman web institusi dan agensi berkaitan, Rujukan Informasi Kerjaya Lepasan SPM dan sebagainya.

Dalam pada pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Sumber: rahsiaanakpintar.com

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :