16 May 2012

SELAMAT HARI GURU

SELAMAT HARI GURU


Hari ini Hari Guru. Sudah semestinya kami di SMK Telok Kerang juga menyambut Hari Guru ini penuh bermakna.  Sambutan yang bermula pada 8.00 pagi hanya tamat pada pukul 12.00 tengah hari dengan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti.


Tanggal 16 Mei setiap tahun, hari tersebut sinonim dengan perayaan Hari Guru di Malaysia. Meskipun ianya tidak diwartakan sebagai hari cuti umum, sambutannya tetap dijalankan dan dimeriahkan di sekolah-sekolah terutamanya. Hari Guru mempunyai banyak makna dan maksud yang tersendiri. Secara umum, ianya merupakan tanda peringatan kepada insan yang bergelar guru, cikgu, atau pendidik. Hari ini digazetkan untuk membawa masyarakat kita supaya terus mengenang dan menyanjung jasa warga pendidik.


Menurut UNESCO, Hari Guru Sedunia mewakili sebuah kepedulian, pemahaman, dan apresiasi yang ditampilkan demi peranan guru, iaitu mengajar pengetahuan dan membangun generasi.


Hari 16 Mei ini dipilih kerana pada 16 Mei 1956, Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu [Federal Legislative Council] telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran [Report of the Education Committee] sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak itu.

Terlalu besar pengorbanan dan bakti yang dicurahkan oleh para guru. Guru bukan sahaja mengajar kita, tetapi juga mendidik kita untuk menjadi seorang yang berguna bila dewasa kelak. Tugas memanusiakan manusia bagai dikongsi bersama antara ibu bapa dan guru. Malah, ibu bapa itulah guru kita yang pertama sebaik sahaja kita lahir ke dunia. Ibu bapa adalah 'guru' di rumah, guru pula adalah 'ibu bapa' di sekolah.


'Selamat Hari Guru' kepada semua warga pendidik yang telah mencurah bakti dan ilmu. Terima kasih yang tidak terhingga, jasa dan baktimu dikenang buat selamanya. Moga Allah s.w.t membalas pengorbanan para pendidik dengan anugerah yang cukup nikmat, bahagia dunia akhirat, insya-Allah.



Objektif Hari Guru:
  • Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk perpaduan dan integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
  • Menarik perhatian ibubapa, murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru dalam masyarakat Malaysia.
  • Memupuk perasaan perpaduan ikhtisas dan muhibah di antara guru.
  • Meninggikan martabat dan taraf guru dalam masyarakat.
  • Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar-seminar, persidangan-persidangan, dan sebagainya yang diadakan pada Hari Guru.
  • Menilai secara objektif peranan guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Ikrar Hari Guru

Bahawasanya kami
Guru-guru negara Malaysia
Dengan ini berikrar
Mendukung terus cita-cita kami
Terhadap tugas kami
Dan menyatakan keyakinan kami
Pada cita-cita murni pekerjaan kami
Kami akan berbakti
Kepada masyarakat
Dan negara kami.

Kami sentiasa menjunjung
Perlembagaan negara
Kami mengamalkan
Prinsip-prinsip Rukun Negara
Pada setiap masa.












SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :