19 July 2012

WAJARKAH MURID BAWA TELEFON BIMBIT KE SEKOLAH?


Macam-macam reaksi daripada pelbagai pihak apabila Kementerian Pelajaran mengambil langkah merangka Draf Peraturan Pendidikan (Disiplin Murid) 2012 yang membolehkan pelajar membawa telefon bimbit dan iPad ke sekolah mulai tahun depan.

Bagi pelajar-pelajar , tentunya menganggap langkah ini sebagai suatu kemudahan yang ‘menyeronokkan’ dan ditunggu-tunggu manakala golongan ibu bapa ada yang merasa lega kerana boleh mengikuti perkembangan anak mereka di sekolah dan pada masa sama tidak kurang ramai juga bimbang dengan kesannya kepada anak-anak apabila membawa alat komunikasi itu ke sekolah.

Pertama, bimbang disalah guna kemudahan tersebut. Yang keduanya, apabila berlakunya kecurian atau kehilangan gajet berharga itu.

Draf peraturan membenarkan penggunaan telefon bimbit ini dirangka selari dengan perkembangan semasa serta mengambil kira faktor keselamatan pelajar, tambahan sebelum ini, pihak ibu bapa sudah beberapa kali meminta kementerian agar membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah bagi membolehkan mereka mengawasi pergerakan anak mereka.
Sememangnya ada baik dan tidak baiknya membawa telefon bimbit ke sekolah. Dari segi baiknya, tentu ia memudahkan ibu bapa untuk mengesan anak mereka terutamanya selepas waktu sekolah. Ada ketikanya anak-anak terlepas bas sekolah mungkin kerana lambat keluar kelas dan tidak memaklumkan kepada pemandu bas terlebih dahulu. Tidak kurang juga yang nakal dan suka berpeleseran selepas waktu sekolah.

Saya pernah diminta oleh anak saya yang bersekolah rendah menghantar kawannya pulang ke rumah kerana kawannya itu terlepas bas. Ini disebabkan semua murid di dalam kelasnya dihukum balik lewat sedikit setelah gagal menyiapkan kerja rumah yang diberi. Mujur saya tidak bekerja ketika itu.

Kediaman saya yang amat dekat dengan sekolah tidak memerlukan anak saya untuk menaiki bas. Sampai di rumah saya, kawannya itu yang menangis kerana panik meminjam telefon bimbit saya memberitahu ibunya di tempat kerja yang dia terlepas bas dan saya akan menghantarnya.

Saya merasa gusar, rasa marah pun ada. Kenapalah cikgu boleh membuat hukuman sebegitu tanpa memikirkan pelajar-pelajar yang menaiki bas sekolah. Siapa yang akan menghantar mereka sekiranya terlepas bas? Jika dibiar pelajar ini ‘bersidai’ menunggu penjaganya mengambilnya pulang di depan sekolah dalam suasana yang agak sunyi, semua pelajar telah pulang, kita bimbang ada pihak lain yang tidak bertanggungjawab pula menawarkan khidmat untuk menghantar pelajar ini pulang ke rumah.

Dalam situasi seperti ini telefon bimbit amat diperlukan. Memang ada telefon awam disediakan di sekolah tetapi tidak semua diselenggara dengan baik, lama dibiarkan rosak dan tidak banyak pula kemudahan itu. Dalam pada itu, jangan terkejut ramai juga pelajar sekolah terutamanya di peringkat rendah yang tidak tahu menggunakan telefon awam.

Tetapi dari sudut tidak baiknya, kita juga bimbang telefon tersebut akan disalahguna pelajar. Kemudahan ini digunakan untuk menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) sesama kawan di dalam kelas atau luar kelas, melayari Internet pada waktu sekolah, mengemas kini status di Facebook, twitter, merakamkan perbuatan kawan-kawan dan guru-guru dan sebagainya.

Pada masa sama, para guru bukan sahaja berhadapan dengan cabaran mengawal pelajar sekolah ini daripada menyalahguna telefon bimbit di sekolah tetapi terpaksa melayani masalah kehilangan telefon bimbit itu.

Kehilangan gajet ini juga mungkin membuatkan pelajar-pelajar terbabit menuduh antara satu dengan lain sehingga berlakunya pergaduhan dan bermacam-macam lagi kesan daripada kehilangannya.

Pada masa sama, pelajar-pelajar yang tidak ada telefon bimbit dan iPad, mula merengek meminta ibu bapa membelikan telefon bimbit kerana melihat kawan-kawan memilikinya dan membawa ke sekolah. Yang lagi haru, mereka mahu yang lebih canggih daripada kawan-kawan dengan niat berlawan-lawan, telefon siapa yang lebih up to date.

Saya tidak pasti apakah peraturan-peraturan ketat yang akan digunakan kementerian dalam mengawal penggunaan telefon bimbit ini. Tetapi sudah pastinya draf yang sedang dirangka itu perlu mengambil kira kesan-kesan yang tidak baik ini.

Kita mahu tahu hadnya, bila waktu telefon bimbit ini boleh digunakan dan bagaimana pihak sekolah dapat mengawal penggunaannya. Pelaksanaan peraturan-peraturan berkaitannya pun perlu tegas dan perlu dipatuhi. Sedangkan peraturan sedia ada yang melarang pelajar sekolah membawa telefon bimbit, ramai juga yang melanggarnya dengan membawanya secara sorok-sorok. 

Kita bimbang peraturan yang ada jika tidak dilaksanakan secara tegas, tidak memberi apa-apa makna, sedangkan orang dewasa pun sukar untuk mematuhi peraturan.

Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di sekolah:

Tumpuan pelajar terganggu
Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas. 

Jurang stratifikasi sosial di sekolah
Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai kiranya begini keadaan persekitarannya?

Jenayah kecil-kecilan
Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi kecurian tersebut.

Isu sosial
Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri, mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?

Akademik tidak bebas lagi
Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan, disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik di sekolah.

Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah jelas. 

Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.
Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti. 

Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.

Sumber:  Utusan Malaysia

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :