31 August 2012

KADET POLIS SMK TELOK KERANG MENJUARAI PERTANDINGAN PERBARISAN LINTAS HORMAT SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE 55 DAERAH PONTIAN



Tarikh 31 Ogos diabadikan saban tahun sebagai satu tarikh yang penuh bersejarah bagi seluruh rakyat Malaysia tidak mengira usia, keturunan, bangsa dan agama. Sesiapa sahaja yang merupakan rakyat Malaysia akan berasa bangga apabila tiba sahaja hari terakhir di dalam bulan Ogos ini.

Sambutan kemerdekaan ini, diadakan bagi tujuan mengingatkan kembali pengorbanan generasi terdahulu yang telah berjuang untuk memastikan anak cucu mereka (iaitu kita semua yang ada hari ini) dapat hidup dalam suasana bebas, aman, makmur dan merdeka. Itulah harapan generasi pejuang kemerdekaan agar keturunan mereka tidak akan dijajah dan dibelenggu oleh kuasa luar.

Sebenarnya, perkara yang lebih utama dalam menyambut ulang tahun kemerdekaan negara ini adalah bagi semua rakyat Malaysia untuk menterjemahkan sambutan ini ke dalam bentuk penghayatan, kesedaran dan kesyukuran. Slogan, laungan merdeka dan cuti umum tidak membawa apa-apa kesan jika rakyat Malaysia tidak menghayati dengan penuh kesedaran dan kesyukuran nilai merdeka yang sebenarnya.

Penghayatan kemerdekaan bukan sekadar melaung-laungkan perkataan merdeka, tetapi juga bermaksud penghayatan dan pemahaman maksud dan kepentingan kemerdekaan yang dikecapi ini. Kesedaran tentang kemerdekaan bukan sahaja bermakna kita tahu bila dan di mana sambutan kemerdekaan diadakan, tetapi juga bermakna kita sedar bahawa kemerdekaan ini wajib dipertahankan kerana negara kita boleh dijajah kembali.

Mensyukuri kemerdekaan bukan sahaja bererti kita gembira dengan kemerdekaan yang dikecapi, tetapi juga bererti kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. atas anugerah kemerdekaan yang begitu berharga ini. Inilah yang perlu dilakukan oleh generasi pascamerdeka sebenarnya, iaitu menghayati, menyedari dan mensyukuri kemerdekaan yang tidak ternilai harganya ini.

Namun sambutan kemerdekaan hendaklah tidak menenggelamkan makna kemerdekaan. Janganlah anak-anak generasi kini berkumpul dan melaung kemerdekaan bukan kerana jiwa yang merdeka, tetapi sekadar acara tanpa menghayati makna. Gaya dan cara mereka hendaklah melambangkan jiwa yang merdeka dari cengkaman penjajahan manusia kepada tauhid yang luhur. Tentu sekali kita juga tidak dapat menerima mereka yang menyambut kemerdekaan tapi kontang dari penghayatan sebagai umat yang merdeka. Perhimpunan anak muda semperna kemerdekaan jika hanya untuk melihat hiburan di atas pentas semata, tentu tidak mencapai matlamatnya. Sebaliknya, mereka hendaklah berhimpun bagi menggambar kecintaan yang jujur kepada negara yang telah memberikan perlindungan kepada rakyat, agama dan kehormatan diri. Bukan sekadar acara tahunan. Setelah memahami hakikat ini, maka laungkanlah Merdeka! Merdeka! Merdeka!

Sebagai menghayati dan menyambut seruan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 55 pada tahun ini, ahli-ahli Kadet Polis sekolah ini menyertai pertandingan perbarisan lintas hormat di Stadium Mini di bandar Pontian. Perbarisan yang bermula pada pukul 8.30 pagi tergendala sebelum bermula oleh curahan lebat hujan rahmat. Beberapa pertandingan mengikut kategori telah dianjurkan oleh Majlis Daerah Pontian sempena sambutan kemerdekaan pada tahun ini.

Tahniah kami ucapkan kepada ahli-ahli Kadet Polis ini yang berjaya mengekalkan kedudukan sebagai juara sebagaimana seperti pada tahun-tahun terdahulu dalam kategori perbarisan badan beruniform dengan mengatasi tujuh pasukan lain. Gaya berjalan dan gaya tabik memberi hormat ditambah dengan berpakaian uniform lengkap telah berjaya menarik perhatian para hakim pertandingan.

Kami mengucapkan terima kasih kepada guru-guru Kadet Polis yang bersama-sama mengembeling tenaga melatih dan menyediakan kelengkapan pakaian untuk pertandingan. Terima kasih kami ucapkan kepada Cikgu Samsul Sazali Salimin, Cikgu Hamisah Mohd Amin, Cikgu Norazrin Bachok dan Cikgu Hasan Kasmuri yang bersama-sama memberi semangat dan sama-sama berada di padang Stadium Mini Pontian pada perbarisan lintas hormat itu.

















SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :