15 August 2012

MAJLIS KHATAM AL-QURAN DAN PENYAMPAIAN SUMBANGAN KASIH RAMADHAN MURID-MURID SMK TELOK KERANG

Pagi tadi bermula pada pukul 7.20 pagi dan bertempat di Dataran Nilam, telah diadakan satu majlis yang yang amat besar ertinya kepada warga sekolah dan sebahagian murid-murid sekolah ini. Majlis yang diberi nama Majlis Khatam Al-Quran dan Penyampaian Sumbangan Kasih Ramadhan Murid-murid SMKTK Tahun 2012 telah disempurnakan oleh Tuan Pengetua.

Mendahului majlis ialah acara khatam al-Quran dibawah pimpinan ustaz Sukri Osman. Suasana sekolah bergema dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang dibaca secara beramai-ramai. Semua warga sekolah yang beragama Islam hadir di Astaka Dataran Nilam.

Setelah khatam al-Quran tamat, penyampaian anugerah Semarak Ramadhan menyusul. Hadiah-hadiah ini diberikan kepada murid-murid yang sentiasa bersemangat memberi bantuan dan kerjasama kepada sekolah dalam menjayakan sesuatu program sekolah.

Penyampaian sumbangan kasih menyusul kemudian dengan Tuan Pengetua menyampaikan sumbangan berbentuk wang, makanan dan kuih-muih dan beras kepada murid-murid yang layak menerimanya khususnya murid-murid yang kehilangan ibu dan bapa masing-masing. Semoga dengan sumbangan ini, ianya dapat memberi kegembiraan murid-murid ini bersama keluarga untuk merayakan aidilfitri yang akan menjelang tak lama lagi .Seramai 70 orang murid menerima sumbangan ini.

Tidak ketinggalan, guru-guru yang bersama-sama menjayakan program tadarus al-Quran juga menerima cenderahati yang diterima olah ketua kumpulan masing-masing.

Sekalung budi dan terima kasih kepada penderma-penderma yang budiman, guru-guru, staf-staf sokongan, pekerja-pekerja swasta dan semua yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak secara langsung dalam menjayakan majlis ini.


Doa khatam al-Quran yang dibacakan oleh Ustaz Sukri bin Osman dan diaminkan oleh semua warga SMKTK yang beragama Islam di pagi yang hening...


الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين
وعلى أله وصحبه أجمعين

Segala puji bagi Allah Tuhan sekian alam, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda serta para sahabat sekalian.

Ya Allah, terimalah doa dan amalan kami. Sesungguhnya Engkaulah yang maha mendengar lagi maha mengetahui.

Ya Allah, terimalah taubat kami. Sesungguhnya engkaulah yang maha penerima taubat lagi maha mengasihi.

Ya Allah, tunjukkilah kami dan bimbingilah kami ke jalan kebenaran dengan berkat al-Quran.

Ya Allah, kasihanilah kami dengan berkat Al-Quran dan jadikanlah Al-Quran sebagai pemimpin, cahaya petunjuk dan rahmat kepada kami.

Ya Allah, ingatkanlah kami apa yang telah kami lupa dari Al-Quran dan ajarkanlah kami apa yang kami tidak tahu tentang isi Al-Quran dan kurniakanlah kami keupayaan untuk membacanya pada waktu malam dan siang dan jadikanlah al-Quran itu sebagai hujjah untuk kami, wahai tuhan pentadbir sekelian alam.

Ya Allah, hiaskanlah diri kami dengan keindahan al-Quran, muliakanlah kami dengan kemuliaan al-Quran dan serikanlah kami dengan ketinggian martabat al-Quran dan pakaikan kami dengan pakaian permata al-Quran, masukkanlah kami ke dalam syurga dengan syafaat al-Quran, selamatkanlah kami daripada segala bencana dunia dan azab hari akhirat dengan berkat kehormatan al-Quran.

Ya Allah, jadikanlah al-quran semasa hidup kami di dunia sebagai rakan, dan di dalam kubur sebagai kawan yang mesra, pada hari kiamat sebagai pembantu, sebagai cahaya penyuluh, semasa menuju ke syurga sebagai teman dan sebagai penghadang dan pendinding daripada api neraka dan jadikanlah al-Quran untuk kami sebagai panduan dan ikutan kepada segala kebaikan dengan limpah kurnia kemurahan dan kemuliaanMu jugalah ya Allah Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Ya Allah, tunjukilah kami dengan petunjuk al-Quran, selamatkanlah kami daripada api neraka dengan sebab kemuliaan al-Quran, tinggikanlah darjat dan martabat kami dengan sebab kelebihan al-Quran dan hapuskanlah dosa dan kejahatan kami dengan sebab membaca al-Quran.

Ya Allah, Tuhan yang mempunyai segala kelebihan. Hapuskanlah dosa dan kesalahan kami dengan sebab membaca al-Quran.

Ya Allah, Tuhan yang mempunyai segala kelebihan dan ihsan. Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia dan di akhirat dan peliharalah kami daripada azab api neraka.

ربنا أتنا فى الدنيا حسنة وفى الأخرة حسنة وقنا عدابا النار
وصلى الله على سيدنا محمد وعلى أله وصحبه وسلم
والحمد لله رب العالمين


 



















SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :