02 January 2013

APA KATA-KATA PELAJAR-PELAJAR PERFECT SCORE 8A PMR 2012 INI...


SITI NUR HAMSAHTON BT MD ESAM

Assalaikum dan salam sejahtera kepada semua warga SMK Telok Kerang. Pertama sekali syukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberikan saya keputusan yang cemerlang dalam PMR 2012. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang menjadi pendorong utama untuk saya berjaya.

Seterusnya kepada guru-guru yang telah banyak berkorban untuk melihat kami berjaya. Tidak lupa juga kepada rakan-rakan yang sentiasa membantu saya jika terdapat masalah dalam pelajaran. Jasa anda semua tidak dapat saya lupakan.

Untuk berjaya kita haruslah berusaha bersungguh-sungguh dan buat yang terbaik. Gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya. Kejayaan kita semua adalah hadiah paling manis buat guru-guru.

Akhir kata, saya berharap agar terus cemerlang dalam SPM dan akhirnya berjaya mencapai impian dan cita-cita saya.


NOOR HIDAYU BT ROHANI

Syukur ke hadrat Ilahi kerana dikurniakan kejayaan ini. Sememangnya usaha keras saya selama ini membuahkan hasil. Pelbagai rahsia kejayaan ingin saya kongsikan untuk tatapan semua.

Pertama sekali, tumpukan perhatian dan fokus semasa guru sedang mengajar. Selain itu, saya juga sentiasa menyalin nota-nota penting dan menghighlight nota-nota tersebut supaya tidak terlepas pandang. Malah saya kerap bertanya kepada guru-guru dan rakan-rakan jika tidak memahami sesuatu perkara.

Apabila menjelang musim peperiksaan, saya akan menyemak kembali nota-nota lepas dan buku rujukan bagi mendapatkan info yang lebih lanjut. Malahan, saya akan mula menghafal pada waktu malam kerana waktu-waktu sebegini menyebabkan minda saya kosong dan mudah untuk menghafal.

Akhir sekali, saya akan memohon keampunan daripada Allah SWT agar diberikan kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan. Saya juga akan berdoa kepadaNya supaya pelajaran saya diberkati dan saya dapat bertenang ketika menduduki peperiksaan hinggalah berakhirnya peperiksaan.


ARFAH BT OMAR

Saya, Arfah bt Omar, bekas pelajar Tingkatan 3 Segar sesi 2012. Saya merupakan salah seorang calon yang telah mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) bagi sesi 2012. Saya juga telah memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Tidak ketinggalan tiga orang rakan saya yang turut memperoleh keputusan yang cemerlang.

Oleh itu, ribuan terima kasih yang tidak terhingga saya ucapkan kepada guru-guru terutamanya kerana telah memberikan didikan yang sempurna kepada saya dan rakan-rakan sehingga berjaya.

Tidak lupa juga ucapan terima kasih diucapkan kepada kedua-dua ibu bapa saya atas sokongan dan dorongan yang diberikan. Tanpa dorongan mereka, tidak mungkin saya dapat berjaya hingga ke tahap ini. Mereka juga sanggup menghabiskan duit untuk menghantar saya mengikuti tuisyen di luar sekolah.

Saya tiada sebarang rahsia atas kejyaan yang saya peroleh ini. Saya hanya melakukan apa yang sepatutnya seorang pelajar cemerlang lakukan. Saya sentiasa membuat ulangkaji dan latih tubi pada waktu malam. Saya juga sentiasa menumpukan perhatian semasa sedang dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, saya telah menetapkan sasaran yang ingin dicapai. Bagi mencapai sasaran tersebut, saya telah berusaha bersungguh-sungguh dan tidak lupa sentiasa berdoa supaya diberikan kejayaan di dunia dan di akhirat.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada semua yang telah bersama-sama mendoakan kejayaan saya dan rakan-rakan seperjuangan. Kepada calon-calon PMR 2013, lakukanlah yang terbaik dan jangan pernah berputus asa.


NUR FARAHIN BT A. RAHIM

Assalamualaikum wbt

Saya Nur Farahin bt A. Rahim, pelajar Tingkatan 3 bagi sesi 2012 ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua warga sekolah yang memberi saya peluang untuk menulis artikel ini.

Saya merupakan salah seorang calon PMR yang telah berjaya memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut. Saya dan 3 orang rakan yang lain memperoleh 8A dalam peperiksaan PMR.

Oleh yang demikian, saya ingin sekali merakamkan jutaan terima kasih kepada semua guru yang pernah mengajar ataupun tidak mengajar saya. Berkat didikan dan doa daripada guru-guru membolehkan saya peroleh kecemerlangan. Terima kasih juga kepada Pengetua SMK Telok kerang, Encik Abdul Hamid b Abu Bakar yang banyak memberi sokongan dan dorongan supaya saya dan rakan-rakan melakukan yang terbaik semasa peperiksaan. Jasa Tuan Pengetua dan semua guru amatlah dihargai.

Tidak lupa juga kepada ibu bapa saya, Encik A. Rahim b Adan dan Rosnani bt Ahmad yang juga banyak memberi motivasi yang berguna kepada saya. Mereka banyak membantu bagi membolehkan saya memperoleh kejayaan.

Sebenarnya, tiada rahsia kejayaan yang saya amalkan melainkan belajar dengan bersungguh-sungguh. Saya selalu mengamalkan konsep lihat dan dengar semasa menjalani proses pembelajaran di dalam kelas. Saya akan menumpukan sepenuh perhatian semasa guru mengajar. Saya juga selalu menyiapkan kerja-kerja yang diberikan.

Tambahan lagi, saya juga tidak lupa untuk berdoa dan bermohon kepada Allah SWT supaya memberikan saya kejayaan dalam peperiksaan. Saya juga menunaikan solat wajib dan solat sunat hajat.

Selain itu, kita mestilah menghormati guru supaya segala ilmu yang dicurahkan kepada kita menjadi berkat. Janganlah kita sesekali mengingkari arahan guru.

Sampai sini sajalah coretan saya. Terima kasih sekali lagi diucapkan kepada semua yang banyak memberi sokongan, dorongan dan bantuan kepada semua calon PMR pada tahun 2012. Sekian, terima kasih.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :