27 June 2013

MAJLIS PERSARAAN CIKGU MAHMOOD B HJ. AHMAD




Pagi ini bertempat di Dataran Ilmu terlakar sejarah bagi sekolah ini dan individu yang bernama Cikgu Mahmood b. Hj. Ahmad. Pagi ini diadakan majlis persaraan Cikgu Mahmood b. Ahmad.

Namanya Mahmood b. Hj. Ahmad. Cikgu Mahmood b. Hj. Ahmad dilahirkan pada 27 Jun 1955. Kelahiran beliau amat dinanti-nantikan oleh pasangan ayah dan ibunya iaitu Hj. Ahmad b Hj. Mohd Amin dan Pn. Hjh. Rubiah bt Mohd Shah. Beliau adalah anak sulung daripada tujuh beradik yang terdiri dua orang lelaki dan lima orang perempuan. 

Cikgu Mahmood b. Hj. Ahmad dilahirkan di Hospital Pontian. Semasa kecilnya beliau membesar di kawasan kuaters townboard sehingga umurnya 2 tahun. Kemudian keluarganya berpindah ke kuaters guru di Jalan Syawal, Pontian sehingga beliau berada di Tingkatan 1. Seterusnya keluarganya berpindah ke Kampung Dalam, Pontian hingga tahun 1982. Pada tahun 1983 ayahnya membawa keluarganya berpindah pula ke kampung asal ayahnya iaitu di Kampung Parit Bilal Laut, Rambah, Pontian.

Cikgu Mahmood memulakan alam persekolahannya di darjah satu pada Januari 1962 di SK Bandar Pontian. Beliau belajar di sekolah itu sehingga Darjah 6. Dalam peperiksaan Darjah 6, Cikgu Mahmood dapat nombor 1 dimana kebanyakan markah subjek dapat 100%. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran di Tingkatan 1 di SMRI Dato' Ali Hj. Ahmad, Pontian pada tahun 1968. Beliau belajar di sekolah ini sehingga Tingatan 3. Beliau mendapat 12 aggregat dalam peperiksaan LCE.  Seterusnya beliau diterima untuk melanjutkan pelajaran di Tingkatan 4 di SMT Kuala Lumpur. Di SMT Kuala Lumpur beliau belajar sehingga ke Tingkatan 6 Atas dan mengambil peperiksaan HSC pada tahun 1975. 

Pada tahun 1976 beliau melanjutkan pelajaran ke UTM dengan mengambil kursus Sains dan Pendidikan. Namun beliau tidak dapat meneruskan pengajiannya di UTM. Beliau balik kampung dan bekerja selama setahun di kilang Mitsumi. Tidak patah semangat, beliau masuk pula belajar ilmu perguruan selama 2 tahun di Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru.

Setelah tamat berkursus di Maktab Perguruan Mohd Khalid, beliau mula bertugas sebagai seorang guru di SK Labis, Jalan Muar. Di situ beliau berkhidmat selama setahun. Kemudian beliau berpindah sekolah iaitu di SMK Ayer Baloi pada 1983. Di SMK Ayer Baloi beliau berkhidmat dari tahun 1983 hingga 1986. Pada April 1986 beliau ditempatkan untuk berkhidmat di SMK Telok Kerang sehingga kini iaitu pada tarikh persaraan beliau.

Cikgu Mahmood berkahwin pada 12 Disember 1984 dengan pasangan hidupnya iaitu Pn. Zaharah bt Abd Manaf. Hasil perkahwinan, beliau dikurniakan 3 orang anak lelaki iaitu Ahmad Redhauddin b Saadon, Mohd Sholahuddin b Mahmood dan Abdul Fatah b Mahmood.

Hari ini adalah hari terakhir Cikgu Mahmood b. Hj. Ahmad berkhidmat di sekolah ini setelah berkhidmat sebagai penjawat awam iaitu sebagai seorang guru selama 31 tahun 1 bulan dan 26 hari. 

Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan selamat bersara kepada Cikgu Mahmood b Hj. Ahmad. 


Pulau Pandan jauh ke tengah
Gunung Daik bercabang tiga
Hancur badan dikandung tanah
Budi yang baik dikenang juga

Jangan serik datang ke mari
Kami di sini selalu menanti
Kalau ada apa dihajati
Jangan lupa kami di sini

Pucuk pauh delima batu
Anak sembilang ditapak tangan
Biar jauh berbatu-batu
Di mata hilang di hati jangan

Kalau ada sumur di ladang
Boleh saya menumpang mandi
Kalau ada umur yang panjang
Boleh kita berjumpa lagi

Hari ini menanam jagung
Hari esok menanam serai
Hari ini kita berkampung
Hari esok kita bersurai















 

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :