Pelajar-pelajar insan PMR dan SPM. Sebagai ingatan, peperiksaan PMR ada 43 hari lagi dan peperiksaan SPM bakal tiba 78 hari lagi. Sudahkah anda semua bersedia?
Saat pembelajaran peringkat darurat adalah suatu yang mencemaskan.
Kepada pelajar yang masih berjuang habis-habisan dan tidak mengalah, diucapkan syabas. Anda telah tonjolkan jiwa seorang pendekar yang
tidak tunduk pada cabaran dan masih memperjuangkan kejayaan pada saat
yang begitu kritikal sekali. Sememangnya, jiwa seorang pejuang jelas
terbukti pada saat yang penuh mendebarkan ini.
Begitu ramai insan yang sudah mengalah dan mereka anggap masa sudah
tidak mengizinkan mereka mengulang kaji pelajaran yang masih tertunggak. Hutang mereka tidak dibayar sehingga saat peperiksaan, dan berakhir dengan hampa dan kekesalan yang tidak terhingga.
Tetapi ada juga pelajar yang menukar ketakutan dan kerisauan sebagai suatu kekuatan untuk terus berusaha. Mereka belajar bertungkus-lumus siang dan malam dengan harapan untuk
mengembalikan ingatan terhadap pelajaran yang mereka telah lupa. Biar pun pada akhirnya mereka juga kalah dalam medan peperangan PMR atau SPM,
setidak-tidaknya mereka tidak rasa bersalah dan tidak menyesal; ini
kerana mereka telah berusaha habis-habisan.
Wahai calon PMR dan SPM, saat pecutan akhir ini menggambarkan komitmen anda terhadap pelayaran sejak daripada tadika. Perahu anda akan mendarat tidak lama lagi. Janganlah berhenti dan
teruslah berdayung. Peringkat akhir ini akan membuktikan segala usaha
dan titik peluh yang telah anda curahan selama ini tidak sia-sia begitu
sahaja. Jika dikira dari kos yang anda telah gunakan sejak dari tadika
untuk meneruskan kehidupan anda di lautan pembelajaran selama ini,
nilainya bukanlah sedikit. Jika kita belanja RM5 sehari untuk makanan
setiap hari, makanan yang telah kita telan selama pelayaran ini adalah
lebih dari puluhan ribu ringgit.
Sememangnya, ibu bapa tidak meminta kita membayar kos pembelajaran dan kos kehidupan yang telah mereka curahkan untuk kita. Tetapi, kita perlulah faham, segala pelaburan mereka ini adalah titik
peluh dan air mata mereka. Buktikanlah kita tidak menghampakan mereka.
Buktikan pada saat-saat akhir ini, kita masih terus berjuang sehingga
titisan darah yang terakhir. Kata pepatah, genggam bara api, biar sampai
jadi arang.
Janganlah mengira hari mu sebelum tibanya masa Maghrib. Janganlah menentukan keupayaan anda untuk lulus cemerlang sebelum sampainya detik peperiksaan. Teruslah berusaha. Hargai setiap saat dan setiap minit. Anda mungkin akan menjulang
keajaiban dan mengecapi kegemilangan yang tidak pernah anda terfikir
selama ini.
Ramai pelajar yang menjulang 8A, 10A menghargai saat-saat akhir
sebelum peperiksaan. Mereka sememangnya telah bersedia sejak awal tahun,
tetapi mereka beranggapan pembelajaran pada peringkat pecutan akhir
akan menguatkan ingatan pada apa yang telah mereka kuasai sebelum ini.
Wahai pelajar sekalian, segakkan badan dan susun langkah perbarisan.
Terus menyanyikan lagu perjuangan mengiringi perarakan ke medan
peperiksaan. Apa yang telah anda lalai kini telah menjadi sejarah.
Jangan marah diri dan jangan menyesal. Mulakan saat ini dengan tenaga
baru dan terus mencari intan bersinar di lautan bergelora ini.
Sumber