08 September 2013

PRAKATA MENGENAI PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA (PPPM) 2013-2025 OLEH KETUA PENGARAH PENDIDIKAN MALAYSIA, TAN SRI ABD. GHAFAR BIN MAHMUD

Pendidikan merupakan perkara utama yang berupaya mempengaruhi pembangunan diri individu dan menyediakan pelbagai peluang dalam mencorakkan kehidupan masa depan. Pendidikan juga mendasari proses pembangunan modal insan yang berinovatif dan berkemahiran tinggi yang merupakan faktor kritikal bagi menyokong pertumbuhan sosial, budaya, dan ekonomi sesebuah negara. Komitmen dan usaha mempertingkat kualiti pendidikan merupakan sebahagian daripada pelaburan utama Kementerian ke arah menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia pada masa depan.

Sehubungan itu, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi mengenal pasti cabaran dan jurang dalam sistem pendidikan kebangsaan, dan seterusnya merangka kaedah penyelesaian terbaik bagi menanganinya. Bersandarkan input ini, Kementerian telah berjaya menghasilkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menggariskan strategi dan inisiatif bagi mengupayakan peningkatan kualiti sistem pendidikan kebangsaan.

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 dibangunkan dengan mengambil kira analisis, temu bual, tinjauan, dan kajian yang melibatkan panel pakar pendidikan negara dan antarabangsa, selain turut melibatkan pegawai di Kementerian, guru, pemimpin sekolah, dan ibu bapa. Selain itu, pelaksanaan beberapa siri Dialog Nasional Pendidikan Negara yang dijalankan sejak awal tahun lalu telah berjaya mengumpul input berupa pandangan, idea, dan maklum balas daripada hampir 12 ribu orang yang mewakili kumpulan orang awam dan pelbagai pihak berkepentingan. 

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 bakal mengupayakan pelaksanaan berkesan inisiatif yang mendokong usaha transformasi sistem pendidikan kebangsaan secara menyeluruh. Perancangan dan inisiatif strategik disusun ke arah mewujudkan satu sistem pendidikan yang menekankan kekuatan, kecekapan, kualiti, kelestarian, serta kejayaan yang dapat dilihat dalam tempoh terdekat. Sistem pendidikan di Malaysia menjelang tahun 2025 seharusnya berupaya mencapai penyertaan  menyeluruh pendidikan peringkat menengah, menempatkan diri pada kedudukan kelompok sepertiga terbaik dalam pentaksiran peringkat antarabangsa, memastikan semua murid menikmati peluang yang sama kepada pendidikan berkualiti, dan seterusnya menyemai identiti nasional dalam kalangan murid. 

Strategi pelaksanaan dan sistem sokongan yang mantap, merangkum sistem penyampaian yang berkualiti dan kepimpinan yang cekap dan berkesan adalah kritikal bagi merealisasikan usaha peningkatan kemenjadian murid. Sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, saya amat yakin melalui sokongan semua pihak berkepentingan dalam dan luar KPM, pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 akan merangsang dan melestarikan usaha transformasi sistem pendidikan Malaysia.

Tan Sri Abd. Ghafar bin Mahmud 
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :