Kualiti
kerja ialah sesuatu keadaan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Ia
tidak statik bahkan ia bergerak sepanjang masa. Usaha untuk mencapai
kualiti yang dikejar tidak akan habis dan tidak ada hadnya. Bagaimana
pula dengan kualiti pengajaran guru di bilik darjah?
- Sebagai penyampai ilmu, guru mesti pakar dengan mata pelajaran yang diajar. Guru mesti mampu menyusun idea dan fakta dengan teratur dan mudah untuk difahami oleh pelajar-pelajarnya. Penggunaan bahan bantu mengajar dapat menjelaskan idea dengan lebih jelas dan tepat.
- Kompetensi pengajaran dan pembelajaran guru bergantung kepada kemahiran, kebolehan dan ilmu pengetahuan yang ada pada seseorang guru. Guru mesti yakin dengan penyampaian isi dan kandungan pelajaran kepada pelajar-pelajarnya.
- Teori yang berkaitan dengan pendidikan amat berguna untuk diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru tidak bermakna apa-apa jika tidak memegang teori-teori dalam pendidikan.
- Guru di dalam kelas adalah seorang pembimbing bukannya pengurus yang membuat arahan. Guru yang berkualiti ialah apabila guru itu dapat membimbing pelajarnya ke arah melakukan tindakan yang positif dan disenangi.
- Seseorang guru yang berkualiti mampu mempengaruhi pelajar-pelajarnya untuk mengubah diri melalui maklumat, cerita dan fakta yang betul. Gunakan pelbagai pendekatan agar pelajar-pelajar dapat memahami maksud, tujuan dan kehendak yang sebenarnya.
- Guru hendaklah membimbing pelajar-pelajar melalui kekuatan kualiti kerja guru itu sendiri. Bina keupayaan pelajar-pelajar untuk membuat kerja sekolah dengan bersungguh dan bermutu. Letakkan hasil dan mutu kerja yang tinggi sebagai faktor kejayaan seseorang pelajar.
- Guru hendaklah berkompromi dengan pelajar-pelajarnya dalam beberapa perkara. Ini sebagai rangsangan untuk mereka bahawa jawapan, idea, pendapat dan hasil kerja mereka amat dihargai dan seterusnya keadaan ini boleh memacu kearah kejayaan.