06 October 2014

CABARAN PENDIDIK DALAM MELAHIRKAN MODAL INSAN YANG KREATIF, INOVATIF DAN BERKEMAHIRAN ABAD KE-21

Para pendidik hari ini telah memainkan peranan penting di dalam merealisasikan aspirasi negara. Mereka merupakan ejen kepada keberkesanan pendidikan. Kedudukan para pendidik sebagai suatu profesion di dalam Dasar Pelajaran Kebangsaan turut menghadapi cabaran-cabaran masa kini dan akan datang. Di tangan pendidik sendiri, martabat profesion perguruan dapat ditingkatkan dengan memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab terhadap pelajar, ibu bapa, masyarakat, negara, rakan sejawat dan tanggungjawab terhadap profesion perguruan itu sendiri. Antara cabaran yang perlu diharungi oleh para pendidik hari ini adalah:

Cabaran Pertama:
Mempertingkatkan Profesionalisme.
Para pendidik harus sedar tentang tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara. Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini. Berusaha untuk mengaplikasi kaedah-kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Para pendidik perlu menyambut baik dengan mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin kompleks ini. Dengan ini suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik.

Cabaran Kedua:
Kemahiran Dalam Penggunaan ICT.
Bidang pendidikan sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi telekomunikasi dan internet menuntut banyak cabaran kepada para pendidik untuk mencapai Misi Nasional. Para pendidik mesti bersikap proaktif dan terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu ICT mesti terlebih dahulu dapat dikuasai oleh para pendidik sebagai golongan yang akan menyebar-luaskan kepada para pelajar. Mereka juga perlu melengkapkan diri dengan kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan penggunaan komputer sebagai satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk menjadikan negara maju menjelang 2020.

Pendidik juga harus memperlengkapkan diri secara global kerana dalam era teknologi maklumat masa kini, masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai peralatan elektronik dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh pendidik dengan menggunakan segala kemudahan semaksima mungkin.

Cabaran Ketiga:
Berpengetahuan, Berdaya Fikir dan Berakhlak.
Pendidik yang berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian. Isu-isu semasa berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, ekonomi dan sebagainya. Pendidik yang berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang di kemudian hari.

Modal insan dapat mencapai kematangannya dengan pengisian kaedah menakluk persekitaran dan cernaan pengalaman. Perkara utama adalah untuk menyediakan pendidik dan masyarakat yang berbudaya berfikir. Negara kita mempunyai masyarakat berbudaya belajar, tetapi adakah pembelajaran itu sendiri mampu untuk merangsang usaha berfikir?
Dalam perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion perguruan perlu menyediakan diri dengan amalan nilai murni dan akhlak yang terpuji. Dalam kurikulum pendidikan, telah ditegaskan nilai-nilai murni yang perlu diserapkan kepada pelajar dalam pengajaran. Penerapan nilai murni ini penting untuk menyediakan modal insan yang berkualiti, menjadi warga yang berguna kepada bangsa dan negara.

Cabaran Keempat:
Berupaya Membuat Keputusan, Menyelesai Masalah serta Berfikiran Kritis dan Kreatif.
Para pendidik juga mesti sedar bahawa profesion mereka bukan sahaja mengajar tetapi terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai, penyelia, pengawal dan sebagainya. Untuk itu, para pendidik harus melaksanakan anjakan dengan ’membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul’.

Cabaran Kelima:
Menyedari Tanggungjawab.
Menyedari betapa besarnya tanggungjawab membimbing pelajar untuk mencapai kemajuan dan wawasan, para pendidik perlu melaksanakan tanggungjawab seperti:
  1. Tanggungjawab terhadap ibu bapa seperti mewujudkan hubungan mesra, menghormati mereka, tidak dipengaruhi oleh kedudukan sosial dan ekonomi mereka dan memberi maklumat kepada mereka untuk kepentingan anak-anak mereka.
  2. Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara seperti mengelak dari menyebar perkara negatif, menghormati masyarakat setempat serta menggalakkan kerjasama dan persefahaman.
  3. Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion seperti mengelak dari membuat kenyataan negatif, tidak melibat diri dalam kegiatan yang menjejaskan kepercayaan masyarakat serta membantu rakan sejawat.

Cabaran Keenam:
Menjadi Pendidik Berkualiti.
Bagi mempertingkatkan profesion perguruan, seseorang pendidik perlu mempunyai ciri-ciri yang berkualiti seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara jika mahu dipandang tinggi oleh masyarakat. Kualiti para pendidik dapat diperkemaskan dari masa ke semasa dengan latihan, seminar dan lain-lain kursus dalam perkhidmatan. Penubuhan Institut Aminudin Baki (IAB) adalah untuk meneruskan pelbagai latihan dalam perkhidmatan untuk melahirkan para pendidik yang lebih efisien.

Penguasaan ilmu yang seimbang antara duniawi dan ukhrawi, insya-Allah akan dapat melahirkan generasi yang berilmu, bertakwa, berkualiti, mampu bersaing dan bersesuaian dengan kehendak pasaran dunia pada alaf baru ini.

Sesungguhnya Allah s.w.t. telah mengangkat darjat orang yang beriman dan berilmu dalam kalangan kita semua. Oleh yang demikian, profesion pendidikan adalah merupakan satu profesion yang tinggi nilainya di sisi Allah s.w.t. Ini telah ditegaskan oleh Allah s.w.t. di dalam firman-Nya dalam surah az-Zumar, ayat 9: Maksud: Katakanlah, adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.

Cabaran Ketujuh:
Menjadi Pendidik yang Berkesan.
Bagaimana dan apakah ciri-ciri yang dimaksudkan dengan seorang pendidik yang berkesan itu? Ia merangkumi sebagaimana yang berikut:
  1. Bersikap profesional. 
  2. Mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori.
  3. Kaya ilmu pengetahuan.
  4. Bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja.
  5. Berakhlak terpuji dan mempunyai moral yang teguh.
  6. Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran.
  7. Prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa.
  8. Berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan pelajar.
  9. Melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa. 
  10. Menampilkan watak terpuji, berimej, berperibadi mulia, berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa. 
  11. Mempastikan situasi 'guru mengajar murid belajar' wujud di dalam kelas.
  12. Berupaya melahirkan 'persekolahan berwatak' supaya pelajar mempunyai kekuatan ilmu, berpersonaliti sihat dan serba boleh.
  13. Berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
  14. Berupaya membentuk perwatakan pelajar dengan pelbagai keteguhan nilai diri (bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu).
  15. Taat dan setia terhadap perkhidmatannya, mempertahankan martabat profesionnya.
  16. Menunjukkan kesetiaan kepada kerajaan, bebas pendirian, tidak berbelah bahagi. 
  17. Profesional dan menumpukan perhatian kepada Pengajaran & Pembelajaran di sekolah.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :