Tema Hari Kebangsaan 2015 pada tahun ini -
Sehati Sejiwa yang menggambarkan keutuhan, perpaduan, kesefahaman, bersatu
dalam menempuh saat kejayaan dan detik kesusahan seluruh rakyat negara ini.
Rakyat Malaysia dituntut supaya taat setia tanpa berbelah bahagi. Jiwa raga dan
kesetiaan hanya kepada tanah air tercinta.
Tanpa rasa curiga apatah lagi
mewujudkan onak duri dalam usaha untuk memporakperandakan negara. Lebih malang
lagi jika wujud tindakan cuba menggulingkan negara, ternyata mengundang
kemusnahan dan ketidaktenteraman dalam kalangan warga di tanah air tercinta.
Jika kita mengamati bait-bait lirik Hari Kebangsaan 2015 ternyata lagu ini
menyuntik semangat dan roh perjuangan rakyat Malaysia. Lirik ini mengajak kita
agar memantap jiwa lebih tabah dan kental menempuh segala rintangan dan dugaan
yang menimpa negara ini.
Jiwa merdeka
Perayaan Hari Kebangsaan 2015 bukan
sekadar retorika semata-mata. Tema kali ini mengajar rakyat Malaysia agar dapat
membina semangat sehati sejiwa di mana jua kita berada. Malah mulai tahun ini,
sambutan Hari Kebangsaan tidak lagi disebut kali ke berapa kerana usaha ini
dapat merapatkan hubungan antara rakyat tanpa mengira mereka dari Semenanjung,
Sabah atau Sarawak.
Lirik ini jelas menyeru agar rakyat Malaysia sehati sejiwa
tanpa curiga, memantap perpaduan demi kesejahteraan bersama. Malah jarak antara
negeri-negeri Borneo, iaitu Sabah dan Sarawak dengan Semenanjung bukanlah
pemisah dan penghalang ke arah keutuhan bersama.
Sehati sejiwa turut membawa
maksud budaya seluruh rakyat Malaysia yang berganding bahu dan bekerjasama
serta bersatu dalam apa juga kejayaan dan rintangan yang berlaku di negara
tercinta Malaysia. Walaupun berbeza adat resam, kepercayaan dan budaya, namun
bukan faktor untuk kita berselisihan. Masyarakat yang berjiwa merdeka
meletakkan kepentingan umum lebih utama daripada kepentingan sendiri. Walaupun
kita berbeza budaya, tapi kita masih mampu mencari titik pertemuan demi
perpaduan dan kelangsungan bangsa Malaysia. Suka dan duka bersama Semangat
sehati sejiwa ini terbukti ketika Malaysia ditimpa musibah, bencana atau
kemalangan.
Kejadian banjir besar di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak,
Perlis, Kedah dan di Sabah serta beberapa kawasan pedalaman dirasai bersama
seluruh rakyat Malaysia. Kejadian gempa bumi di Sabah juga dirasai bersama oleh
warga Malaysia. Tanpa diarah dan diminta, rakyat Malaysia membantu secara
sukarela menyelamat mangsa banjir. Jelasnya, detik suka dan duka perlu
dirasakan bersama dalam satu negara.
Begitu juga insiden misteri kehilangan
MH370 dan tragedi MH17 yang menjadi polemik antarabangsa juga dirasai, dijiwai
dalam hati nurani rakyat Malaysia. Walaupun kes ini belum lagi selesai, kita
terpanggil untuk menyatakan hasrat dan doa agar semuanya mendapat jawapan yang
pasti. Ini sejajar dengan salah satu prinsip 'towering personality' iaitu
individu yang berjiwa merdeka.
Masyarakat yang berjiwa merdeka dapat melahirkan
buah fikiran yang proaktif dinamik dan positif sehingga mampu melahirkan
idea-idea baru yang bermanfaat bagi memartabatkan diri, keluarga, masyarakat
dan negara. Individu yang berjiwa merdeka ialah berfikiran kreatif, inovatif
dan penyayang. Bukan sekadar pengguna namun mampu mencipta dan menampilkan
idea-idea baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat, individu berjiwa
prihatin saling bantu membantu dan bertoleransi demi kelangsungan bangsa dan
negara.
Suntik semangat merdeka
Prinsip Kemerdekaan bukan sekadar bebas untuk
melakukan apa sahaja mengikut kehendak hati. Masyarakat yang berjiwa merdeka
mestilah seorang patriot, hendaklah mengatasi belenggu pemikiran yang terjajah,
bersikap terbuka kepada kemajuan dan perubahan orang lain, tidak bersikap jumud
dalam menghasilkan pemikiran berdaya maju dan menolak amalan negatif yang boleh
menyebabkan jiwa terus terbelenggu.
Masyarakat yang berjiwa merdeka bukanlah
masyarakat yang terlepas daripada peraturan undang-undang dan etika, sebaliknya
asas-asas murni itu hendaklah digunakan sebagai landasan membangunkan
masyarakat dan negara yang teguh dan utuh. Setiap potensi anggota masyarakat harus
digerakkan sebijaksana mungkin hingga mampu memartabatkan jati diri, imej
keluarga, integriti masyarakat, keutuhan negara berasaskan patriotisme yang
tinggi dan kesetiaan tidak berbelah bahagi.
Jiwa merdeka harus mampu melakukan
pilihan dan membuat saringan serta bersikap terbuka terhadap faktor dari luar
lingkungan budaya dan tradisi yang tidak bercanggah dengan nilai etika dan
sejagat yang sifatnya menyumbang terhadap pembangunan tamadun mengikut acuan
kita sendiri. Jiwa merdeka bukan hanya terletak pada slogan, tema atau
pernyataan luaran semata-mata tetapi lebih daripada itu menuntut pengorbanan
dan keperluan bekerja bersungguh-sungguh ke arah menyumbang dan membangunkan
negara. Memiliki jiwa yang merdeka bermaksud mempunyai ketenangan hati dan minda,
kehidupan membahagiakan di samping insan-insan tersayang. Untuk memiliki jiwa
merdeka bukan bermaksud menggunakan saluran apa sahaja untuk melebar luaskan
pandangan dan menuduh pihak tertentu dengan sebebasnya sehingga melanggar
undang-undang negara.
Hargai erti kemerdekaan Semangat 'sehati sejiwa' perlu
diterap dalam diri generasi muda masa kini ini agar mereka menghargai erti
kemerdekaan seterusnya mengukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat
pelbagai kaum di negara ini. Program seperti Semarak Sehati Sejiwa Komuniti
1Malaysia dan program kemerdekaan yang dianjurkan oleh Jabatan Penerangan
Malaysia dapat membina semangat bersatu dalam menghadapi cabaran-cabaran yang
ada. Semangat semarak ini perlu ditekankan khususnya dengan perisian semangat
patriotisme dalam kalangan generasi muda kerana erti kemerdekaan itu bakal
melahirkan kekuatan ekonomi negara.
Semangat perpaduan tanpa huru-hara atau
semangat curiga-mencurigai antara satu sama lain perlu ditanam dan disuburkan
agar rakyat Malaysia menghayati nilai dan semangat kemerdekaan sebenar. Roh dan
semangat sehati sejiwa perlulah dihayati dan diinsafi. Jadilah rakyat yang
setia kepada negara yang satu - Malaysia dan sejiwa dalam menempuh segala
dugaan dan rintangan bersama demi negara tercinta.
Sumber: Berita harian
Sumber: Berita harian