BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
Bukanlah jauh terlerai jodoh
Mengapa menderu kenangan lebaran
Bersatu teguh bercerai roboh
Harapan di bahu membina kejayaan.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam satu
Malaysia.
Terima kasih pengacara
majlis.
Yang Berhormat Haji Suhaimi b
Salleh, Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Kukup,
Guru-guru dan kakitangan SMK
Telok Kerang,
Ahli-ahli jawatankuasa Majlis
Graduasi tahun 2013,
Ibu bapa para graduan,
dan pastinya putera puteri tersayang,
para graduan yang kita raikan sekalian.
Ucapan:
Alhamdullilah, dengan izin dan keredhaan Allah swt.
Majlis Graduasi SMK Telok Kerang tahun 2013 bagi
putera dan puteri tingkatan lima
dapat kita adakan pada hari ini dalam suasana yang penuh gemilang
dan bermakna buat kita semua.
Saya mewakili seluruh warga
kerja SMK Telok Kerang mengalu-alukan dan merakamkan ucapan terima kasih atas
kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis
ini untuk meraikan anak tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Kita berasa
begitu bertuah dan berbangga kerana majlis kita pada hari ini dimeriahserikan
dan akan disempurnakan oleh ADUN yang baru kawasan ini iaitu Y.B. Haji Suhaimi b
Salleh. Kehadiran beliaumerupakan satu penghormatan kepada kami di SMK
Telok Kerang yang telah beroperasi kira-kira 46 tahun sejak 1967.
Kehadiran dan keprihatinan Y.B. pastinya
akan menyuntik semangat kepada kami, warga pendidik dan warga pelajar untuk terus
mencemerlangkan dunia pendidikan khususnya dan martabat negara secara menyeluruh.
Saya juga mengalu-alukan kehadiran para jemputan,
ibu dan bapa putera dan puteri yang kita raikan ke majlis ini dan sesungguhnya
kehadiran tuan-tuan dan puan-puan akan terus mengeratkan
silaturrahim yang sedia
terjalin antara kita.
Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada AJK
Pengelola Majlis Graduasi ini kerana telah berjaya menzahirkan majlis ini
dengan penuh gemilang.
Yang Berhormat dan hadirin yang dihormati
sekalian,
Kumpulan graduan yang ada di
dalam Dewan A yang mulia ini,adalah terdiri 26 putera dan puteri Tingkatan 5
Sains,25 putera dan puteri Tingkatan 5 Akaun, 27 putera dan puteri Tingkatan 5
Teknologi, 26 putera dan puteri Tingkatan 5 Kemanusiaan, 19 putera dan puteri
Tingkatan 5 Katering dan 14 putera dan puteri Tingkatan 5 Landskap. Jumlah
semuanya ialah 137 putera dan puteri. Mereka akan menamatkan alam persekolahan
dan pembelajaran formal di sekolah ini.
Majlis graduasi ini diadakan khusus untuk meraikan
dan memberi pengiktirafan kepada putera-putera dan puteri-puteri tingkatan 5
SMK Telok Kerang atas kesabaran mereka belajar di sekolah ini. Majlis ini juga
sebagai perangsang kepada mereka untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang
yang bakal diceburi. Malah diharapkan ia mampu mengukir kenangan manis dan
mencatat nostalgia penuh bermakna dalam lipatan sejarah para graduan.
Kepada para graduan, di harap sentuhan majlis ini
dapat membuatkan anakanda putra dan puteri tidak melupakan jasa dan pengorbanan
yang telah dicurahkan oleh barisan pendidik mithali SMK Telok Kerang. Tahniah
diucapkan kepada guru-guru yang telah bertungkus-lumus mendidik dan memberikan
tunjuk ajar. Kami berharap, anakanda putra dan puteri graduan dapat meneruskan
pembelajaran di mana jua selepas SPM nanti dan seterusnya mencurahkan jasa dan
bakti kepada bangsa dan negara sebaik sahaja melangkah keluar ke alam
pekerjaan.
Sebenarnya Majlis Graduasi ini dan peperiksaan SPM
yang bakal ditempuhi hanyalah titik permulaan jalan kehidupan yang bakal
diterokai. Di hadapan para graduan nanti, terbentang pelbagai ranjau, duri dan
rintangan ke arah pencapaian sebenar dalam kehidupan. Semangat perjuangan yang
murni dan kekuatan iman perlu diperkukuh bagi membolehkan para graduan
meneruskan perjalanan dengan penuh yakin dan tabah. Kami semua mendoakan
kejayaan dan kesejahteraan anda semua.
Pada kesempatan ini saya ingin melontarkan cabaran
kepada putera-puteri graduan agar dapat membuktikan bahawa putera-puteri
graduan mampu meneruskan kejayaan yang
lebih gemilang untuk sekolah ini. Di
saat akhir ini berusahalah dengani ltizam yang tinggi dan penuh ketakwaan
berbekalkan ilmu yang dicurahkan oleh guru-guru para graduan untuk memperoleh
kejayaan dan seterusnya memartabatkan SMK Telok Kerang di persada daerah,
negeri dan seterusnya mengharumkan nama sekolah di peringkat kebangsaan.
Yang Berhormat, hadirin, hadirat dan para graduan
yang diraikan,
Putera dan puteri graduan sekelian. Gunakanlah
peluang yang ada pada masa kini untuk memperkasa diri para graduan dengan kemahiran teknologi malumat, kemahiran berkomunikasi
serta meningkatkan penguasaan teknologi dan Bahasa Inggeris. Tiada jalan pintas ke arah kejayaan. Nama-nama
besar orang yang berjaya seharusnya terjelma
dalam kotak minda para graduan sebagai
insan yang berusaha gigih hingga kadangkalamempertaruhkan nyawa demi mencapai matlamat meletakkan nama negara
dipersada dunia. Semangat juang inilah yang perlu dicontohi oleh para graduan.
Saya juga amat berharap agar putera dan puteri
graduan sekalian memiliki daya saing yang
positif ke arah mewujudkan generasi yang inovatif dalam bidang sains dan
teknologi. Negara kini memerlukan teknokrat yang proaktif dan matlamat tersebut juga merupakan sebahagiandaripada hasrat negara. Untuk berjayasebagai
teknokrat mahupun pemangkin
pembangunan negara, para graduan semua perlu berubah dan untuk
memulakan perubahan itu pula, para graduan
mestilah meneroka dalam diri sendiri untuk mencari kekuatan, kelemahan dan ancaman yang ada. Dengan
kata lain, kita perlu ada
unsur-unsur pemugaran kendiri.
Janganlah hendaknya kita mengajar diri kita menilai sesuatukeputusan
untuk berubah itu menerusi dimensi yang sempit tetapi semestinya perlu bersikap
imaginatif dan praktikal. Jika kita berjaya melihat
daripada perspektif yang lebih global dan positif, ia berupaya diterjemahkan
dalam tindakan yang lebih bermakna. Hanya mereka yang bergerak dengan kekuatan ilmu dapat berdaya saing.
Yang Berhormat dan hadirin yang dihormati sekalian,
Dalam majlis ini, saya mengambil kesempatan untuk
merakamkan ucapan terima kasih tidak terhingga kepada guru-guru, kakitangan, dan ibu bapa sekalian. Kesediaan dan kesudian para waris untuk sama-sama berganding
bahu hadir dalam Majlis Graduasi ini amat kami hargai dan kami sanjung.
Kepada para graduan,hargailah harapan tinggi yang telah disandarkan oleh waris
anda. Balaslah jasa mereka dengan ‘juadah’
kejayaan yang hasilnya begitu indah dan dapat dinikmati selama-lamanya.
Yang Berhormat dan hadirin
hadirat sekalian,
Izinkan saya membaca Gurindam
Melayu Klasik mengenai ‘menuntut ilmu’ khas untuk putera dan puteri graduan,
Gunakan latihan gunakan ilmu
Pada masa yang betul di tempat yang betul
Pandai-pandai menyesuaikan ilmu
Pandai-pandai menyesuaikan diri
Ibarat berdayung biar dalam perahu
Menyumpit biar dalam hutan
Menumbuk biar dalam lesung
Bertanak biar dalam periuk
Melemang biar dalam buluh
Mengeram biar dalam sarang
Membakar biar dalam bara
Menyalai biar dalam asap
Mengendap biar dalam gelap
Menjahit biar dalam terang
Belajar menyelam biar dalam air
Belajar menjerat biar dalam hutan
Latihan yang diberi di sini sambung di tempat
lain
Tempat kerja adalah sebaik-baik guru
Izinkan saya berpantun untuk
Yang Berhormat dan ibu serta bapa yang hadir dalam dewan yang mulia ini,
Banyak keluk ke penarik,
Keluk tumbuh pohon kuini,
Nan elok bawalah balik,
Nan tak elok tinggallah di sini.
Bunga dedap di atas para,
Anak dusun pasang pelita,
Kalau tersilap tutur bicara,
Jemari disusun maaf dipinta.
Pohon berangan tempat bertemu,
Girangnya rasa si anak dara,
Baliklah tuan membawa ilmu,
Binalah bangsa bangunkan Negara
Di atas dahan burung tempua,
Melihat rusa tepi perigi,
Salam perpisahan untuk semua,
Di lain masa bersua lagi.
Bunga seroja di atas para,
Jatuh ditimpa buah berangan,
Andai kata tersilap bicara,
Kemaafan jua kami pohonkan.
Sebagai penutup, sekali lagi
saya bagi pihak SMK Telok Kerang merakamkan penghargaan atas kehadiran Yang
Berhormat Haji Suhaimi b Salleh, guru-guru, ibu dan bapa, dan putera-puteri
graduan. Teruskan lakaran kita untuk terus mekar memartabatkan
alam pendidikan negara kita. Kepada ibu bapa
sekalian, iringilah perjuangan putera
dan puteri graduan kita menempuh peperiksaan dengan doa agar
kecemerlangan yang kita harap-harapkan tercapai. Kepada para jemputan, terima
kasih atas kehadiran dan sokongan anda
semua. Kepada putera dan puteri graduan, perjuangan belum berakhir. Teruskan
perjuangan anda.
Sekian. Wassalam.
ABDUL HAMID BIN ABU BAKAR,
PENGETUA,
SMK TELOK KERANG, PONTIAN,
JOHOR.
31 Oktober 2013