31 August 2010

SAMBUTAN ULANG TAHUN KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-53 DI SMK TELOK KERANG



Setiap tahun pada 31 Ogos kita menyambut Hari Kemerdekaan. Pada tahun ini, Sambutan Kemerdekaan di sekolah ini dilakukan pada pagi Isnin 30 Ogos 2010 bertempat di Dataran Nilam. Sambutan yang sederhana tetapi meriah dimulakan dengan perbarisan pengendali perhimpunan iaitu Persatuan Pandu Puteri. Ucapan rasmi sempena kemerdekaan telah disampaikan oleh Pn. Hjh. Arbaenah Bt Masud, GPK 1.

Di antara program-program sambutan pada tahun ini ialah:
  1. Kempen kibarkan Jalur Gemilang.
  2. Pertandingan menulis esei patriotisme.
  3. Pertandingan keceriaan kelas dan sudut kemerdekaan.
  4. Pertandingan kuiz sejarah secara spontan.
  5. Majlis bacaan Surah Yasin sempena kemerdekaan.
  6. Pertandingan melukis potret tokoh sejarah.
  7. Perhimpunan rasmi kemerdekaan.
Kemerdekaan ialah apabila seseorang bangsa atau umat merdeka daripada segala bentuk penjajahan undang-undang ciptaan manusia kepada pengabdian diri hanya kepada Allah, bebas daripada kezaliman kepada keadilan dan bebas dari kejahilan kepada berilmu baik lahiriah ataupun zahiria.
Merdeka bukan bermaksud bebas dan tidak terikat dengan sebarang peraturan dan boleh melakukan apa saja yang disukai. Merdeka bukan semata-mata bebas secara fizikal daripada belenggu penjajahan, tetapi konsep merdeka yang sebenar mengikut pandangan Islam ialah membebaskan diri daripada semua bentuk penjajahan yang bercanggah dengan ajaran Islam, samada dalam bentuk pemikiran rohani dan jasmani mahupun budaya dan citarasa, perasaan dan emosi seseorang insan itu.

Sepatutnya, umat yang merdeka dapat berfikir dengan matang apakah yang terbaik dilakukan untuk dirinya, bangsa dan kepentingan umat keseluruhannya serta negaranya tanpa khawatir dan bimbang terhadap sebarang halangan yang menghalangnya. Sepatutnya kita mempunyai pemikiran apakah yang kita telah sumbangkan untuk negara, bukan mengharap apa yang negara dapat sumbangkan untuk kita. Sebab itulah sekiranya fahaman dan mentaliti kita belum berganjak sampai bilakah kita boleh dikatakan sebagai seorang manusia yang benar-benar merdeka?

Kefahaman tentang kemerdekaan sememangnya amat berbeza antara generasi dulu yang memperjuangkan kemerdekaan dengan air mata dan darah berbanding generasi hari ini. Hal ini kerana bagi generasi terdahulu, kemerdekaan adalah sesuatu yang tidak ternilai harganya, manakala bagi golongan muda di zaman ini, 31 Ogos hanya sekadar cuti umum, berseronok, bakar bunga api, berhibur, berkelah dan bersantai.




Golongan penjajah pada masa kini tidak lagi datang menaiki kapal dan menggunakan senjata seperti masa dulu, sebaliknya berupaya menjajah umat islam menerusi alat komunikasi canggih serta menggunakan kuasa kewangan dan media. Dengan danya zaman globalisasi dan dunia tanpa sempadan, ia menjadi semakin mudah untuk mereka melebarkan pengaruh dan mengawal aspek politik, ekonomi dan system social milik kita. Sesetengah Negara masih bergantung kepada Negara yang masih menjajah mereka dalam banyak sektor seperti perdagangan, pendidikan dan ketenteraan. Malah, perkara terburuk ialah penjajahan pemikiran masih berlaku masih berlaku dikalangan masyarakat Negara itu.



Justeru, rakyat Malaysia perlu terus berusaha untuk membebaskan diri dan jiwa mereka daripada kejahilan, kemiskinan dan rasa rendah diri daripada bangsa-bangsa lain. Kemerdekaan yang sebenar akan menjadikan umat islam sebagai umat yang mampu berdikari, berilmu pengetahuan, berkeyakinan tinggi, mempunyai jati diri yang kuat dan bebas daripada pengaruh penjajahan.


Sehubungan itu, dalam kemeriahan pelbagai pihak mengadakan sambutan kemerdekaan pada Ramadan mulia ini, maka kita juga perlu secara serius berfikir mengenai pelbagai persoalan berkaitan erti kemerdekaan, pengisian dan perjuangan untuk diteruskan bagi memartabatkan Malaysia.
Banyak cara kita boleh membuktikan komitmen, jasa bakti dan pengorbanan untuk negara. Biar apapun bentuk khidmat kita, peranan dan modus operandi pengisian kemerdekaan memerlukan rakyat berilmu dan berakhlak mulia dengan etika kerja cemerlang. Menerusi ilmu maka dapatlah kita berkhidmat lebih efektif dan efisien mempertahankan kemerdekaan dalam semua bidang, termasuk pelestarian alam sekitar.


Semoga Watan Ini Sentiasa Aman Damai
Janganlah kita mensia-siakan nikmat ini dengan melakukan perkara-perkara yang tidak memberi untung kepada kita. Marilah kita mengisi kemerdekaan secara dengan melaksanakan perkara-perkara yang berfaedah dan berguna bagi membangun agama, bangsa dan Negara.



Hakikatnya kemerdekaan adalah satu konsep sarat dengan pengertian politik, jati diri dan pembangunan sebuah bangsa. Pengertian merdeka dari segi politik tidak terbatas kepada pembebasan dari kuasa penjajah saja. Merdeka bererti kebebasan dari segi pemikiran, keilmuan, sosial, ekonomi dan budaya dari pengaruh asing yang merosak dan menindas. Merdeka juga bermakna mempertahankan maruah negara terhadap penghinaan dalaman dan asing, seperti memomokan bahasa dan agama rasmi, apatah lagi melumurkan Jalur Gemilang dengan najis!
Penghayatan kemerdekaan seharusnya diserlahkan menerusi kefahaman mengenai peranan kita sebagai warga merdeka. Merdeka tidak semestinya perayaan disambut dengan pelbagai acara meriah. Merdeka juga jangan sampai sekadar upacara tahunan terhadap suatu tarikh keramat seperti 1 Syawal atau tahun baru.
Tidak bermakna mendiami sebuah Negara merdeka, sedangkan rakyatnya masih belum merdeka jiwanya dan amalan sehariannya. Apalah erti kemerdekaan yang dikecapi oleh kita, jika masyarakat yang tidak patuh kepad aperaturan-peraturan agama dan Negara.
Kejayaan sesebuah Negara yang merdeka tidak hanya dilihat dari segi pembangunan luaran seperti bangunan yang besar, tinggi dan moden, di samping kemudahan-kemudahan lain yang disediakan. Namun yang lebih utama dalam pembangunan sesebuah Negara ialah aspek pembangunan modal insan yang berteraskan ajaran islam.
Kemerdekaan dalam ertikata lain akan dapat dinikmati sepenuhnya jika kita mampu menjadikan negara yang tercinta ini mencapai tahap tamadun yang tinggi berasaskan perinsip keadilan dan pegangan agama, perpaduan, mempunyai keperibadian dan akhlak yang kukuh dan menunaikan kewajipan bernegara, serta mampu menjauhi diri daripada melakukan perkara-perkara negatif yang dipelopori oleh penjajah barat atas nama kebebasan dan hak individu. Pengaruh pemikiran bebas atau Liberal yang didatangkan oleh barat, jika dibawa kedalam masyarakat dan menjadi amalan di negara ini, pasti akan membawa kepada kehancuran masyarakat dan kehancuran negara.
Sebagai bangsa Malaysia yang merdeka, jiwa kita, diri kita, keluarga dan masyarakat kita perlu bebas daripada mengagungkan pemikiran penjajah, bebas daripada amalan penjajah dan bebas daripada idealisme dan undang-undang penjajah.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :