14 May 2011

HARI ANUGERAH KECEMERLANGAN AKADEMIK & DERMASISWA 2011 LAFARGE MALAYAN CEMENT


Pada pagi ini bertempat di SK Perigi Acheh, Pasir Gudang, Johor telah diadakan Hari Akademik & Dermasiswa 2011 Lafarge Malayan Cement. Majlis tersebut disempurnakan oleh YB Datuk Haji Maulizan Bin Bujang, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan & Koperasi, Pelajaran dan Pelajaran Tinggi Negeri Johor. Turut hadir ialah En. Tay Che Hui, Pengurus Kilang Lafarge Malayan Cement Pasir Gudang.

Sebahagian penerima anugerah bersama YB Datuk Maulizan
dan En. Tay Che Hui
Bagi warga SMK Telok Kerang tentunya anugerah ini amat bermakna. Seramai lima orang pelajar menerima dermasiswa dan tiga orang pelajar lepasan SPM menerima anugerah kecemerlangan akademik.

Penerima dermasiswa:
  1. Muhammad Fauzie bin Supandi
  2. Mohammad Azizul bin Othman
  3. Muhammad Hafizi bin Rushdi
  4. Annur Farha Amaliena binti Wahid
  5. Mohd Zul Azraie bin Jalal
Penerima anugerah kecemerlangan akademik:
  1. Nuraqilah binti Samsudin
  2. Fakhrul Syahmi Azri bin Hasan
  3. Hariz Hamizan bin Hamid
Mereka adalah sebahagian daripada 47 pelajar daripada 6 buah sekolah di Pasir Gudang dan Pontian, penerima-penerima dermasiswa dan penerima-penerima anugerah akademik pada tahun ini. Kehadiran pelajar-pelajar SMKTK ini diiringi oleh Pn. Hajjah Arbaenah binti Masud, GPK Akademik.

Penerima anugerah dari SMKTK bersama
GPK1 Pn. Hjh. Arbaenah binti Masud.
Apakah kaitan Lafarge Malayan Cement dengan Hari Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Dermasiswa ini?

Projek Sekolah Lafarge Malayan Cement merupakan sebahagian daripada usaha komuniti syarikat bagi meningkatkan kecemerlangan akademik di kalangan komuniti tempatan. Dua skim yang ditaja ialah:
  1. Skim Dermasiswa Lafarge Malayan Cement - Anugerah ini memberi bantuan kewangan kepada pelajar-pelajar yang layak dan memerlukan bantuan. Dermasiswa ini bernilai RM400.00 bagi setiap pelajar sekolah rendah dan RM500.00 bagi setiap pelajar sekolah menengah.
  2. Skim Anugerah Kecemerlangan Akademik Lafarge Malayan Cement - Anugerah ini bertujuan memberi motivasi kepada pelajar cemerlang dalam pelajaran/peperiksaan. Anugerah ini diberi kepada tiga pelajar terbaik daripada setiap buah sekolah berdasarkan keputusan peperiksaan UPSR dan SPM dalam bentuk wang tunai, sijil dan hadiah.

SK Perigi Acheh, Pasir Gudang, Johor

Anugerah ini diperkenalkan pada tahun 1997. Kini projek ini meliputi 29 buah sekolah yang terletak dikawasan kilang iaitu di Pasir Gudang, Rawang, Kanthan dan Langkawi. Sekolah-sekolah di Pasir Gudang ialah SMK Pasir Gudang, SK Pasir Gudang 2, SK Pasir Gudang 3, SK Pasir Putih dan SK Perigi Acheh. Manakala SMK Telok Kerang pula ialah satu-satunya sekolah terpilih di Pontian.

Menyedari betapa pentingnya pendidikan dalam pembangunan sesebuah masyarakat, Lafarge Malayan Cement telah melaksanakan Projek sekolah ini sejak tahun 1997 bagi menggalakkan kecemerlangan akademik di sekolah-sekolah yang berhampiran dengan kilangnya. Sehingga kini LMC telah memberi bantuan kepada 2,092 pelajar yang memerlukan serta telah memberi pengiktirafan kepada 724 pelajar cemerlang dalam peperiksaan UPSR dan SPM. Pihak syarikat percaya usaha ini sedikit sebanyak telah dapat menyumbang ke arah kecemerlangan akademik komuniti tempatan dimana syarikat beroperasi.

Jalan menuju ke SK Perigi Acheh.


Lafarge Malayan Cement mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua penerima anugerah dan semoga penganugerahan ini akan menjadi motivasi kepada penerima supaya lebih gigih dalam usaha mencari ilmu pengetahuan dan menyumbang kepada masyarakat apabila dewasa kelak.

Kami warga SMK Telok Kerang mengucapkan terima kasih kepada Lafarge Malayan Cement.







SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :