Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Umat Islam menyambut Aidiladha bagi meraikan kejayaan saudara seagama mengerjakan ibadat haji di Makkah. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
Hari Raya Adiladha di bulan Zulhijjah ini, umat Islam diseru supaya tidak melepaskan peluang bagi menunaikan ibadah korban yang mempunyai hikmah dan kelebihan yang banyak.
Hari Raya Aidiladha dikenali juga Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Ia adalah salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah. Dinamakan juga Hari Raya Haji kerana pada saat tersebut jutaan umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima. Mereka ke sana sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.
Hari Raya Aidiladha dikenali juga Hari Raya Haji dan Hari Raya Korban. Ia adalah salah satu daripada hari kebesaran Islam yang diraikan pada setiap 10 Zulhijah mengikut takwim Hijrah. Dinamakan juga Hari Raya Haji kerana pada saat tersebut jutaan umat Islam datang dari seluruh pelusuk dunia dan berkumpul di Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah haji bagi menyempurnakan Rukun Islam kelima. Mereka ke sana sebagai menyahut seruan Allah Subhanahu Wataala.
Aidiladha disambut dengan melaksanakan ibadat korban iaitu disembelih haiwan seperti unta, lembu atau kambing bertujuan mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. Ibadat korban bertepatan dengan dalil al-Quran dan hadis yang bermaksud: ‘Maka dirikanlah solat kerana Tuhanmu dan berkorbanlah’. (Surah al-Kauthar ayat 2).
Nabi s.a.w berkorban dengan menyembelih dua ekor kibas berwarna putih dan bertanduk. Baginda turut menyembelih kedua-duanya dengan menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletak kakinya di atas tengkuk kibas itu. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Orang-orang mukmin yang melaksanakan ibadah korban (menyembelih binatang korban) mempunyai keistimewaan dan keuntungan (pahala) yang banyak sekali sesuai dengan sabda Rasulullah Sallallahu Alahi Wasallam yang diriwayatkan oleh Al-Imam At-Tirmidzi yang bermaksud:
“Tidak ada amalan yang dilakukan oleh manusia pada Hari Raya Korban yang lebih disukai Allah dari mengalirkan darah (menyembelih korban). Sesungguhnya binatang korban itu pada hari Kiamat kelak akan datang dengan tanduk-tanduknya, kuku-kuku dan bulu-bulunya dan sesungguhnya darah binatang korban itu mendapat kedudukan di sisi Allah di suatu tempat yang tinggi sebelum ia jatuh di atas bumi maka beruntunglah kamu semua dengan (pahala) korban itu."
Hikmah ibadat korban ialah menghidupkan erti pengorbanan Nabi Ibrahim ketika Allah memerintahkan baginda menyembelih anaknya, Nabi Ismail. Nabi Ibrahim tidak teragak-agak melaksanakan perintah itu, tetapi Allah menggantikan sembelihan itu dengan seekor kibas. Oleh itu, jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat.
Ibadat korban mengandungi pengertian untuk mendidik umat Islam jangan melupakan golongan fakir miskin yang memerlukan bantuan selepas Allah memberikan rezeki kepada mereka. Ia turut melahirkan kegembiraan dan perasaan kasih sayang sesama sanak-saudara dan jiran tetangga. Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan. Ini kerana Islam menyuruh agar daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin, di samping orang yang berkorban juga harus hukumnya memakan sebahagian kecil daripada daging tersebut.
Kebanyakan ulama daripada Mazhab Shafie berpendapat, hukum korban adalah sunat muakad (sunat yang sangat dituntut) bagi orang Islam yang berkemampuan.
Hakikatnya, Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri.
Menyedari ibadah menyembelih binatang korban di Hari Raya Korban merupakan amalan yang disukai oleh Allah Subahanhu Wata‘ala dan mempunyai hikmah dan kelebihan (faedah dan pahala) yang sangat banyak. Oleh itu orang Mukmin diseru supaya tidak melepaskan peluang untuk melakukan ibadah korban pada Hari Raya Aidiladha ini yang hanya datang sekali dalam setahun di bulan Zulhijjah. Adalah menjadi suatu kerugian yang besar bagi orang Islam yang mampu tetapi tidak melakukan korban.
Selamat Hari Raya Aidiladha