PELAKSANAAN MATA PELJARAN VOKASIONAL (MPV)
LANDSKAP DAN NURSERI
DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG
LANDSKAP DAN NURSERI
DI SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN TELOK KERANG
1. Mata Pelajaran Vokasional (MPV) Di SMK Telok Kerang
Pelaksanaan MPV di Sekolah
Menengah Kebangsaan Telok Kerang bermula pada tahun 2002. Seramai 34
orang pelajar perintis mengambil mata pelajaran ini iaitu 20 orang
pelajar lelaki dan 14 orang pelajar perempuan. Kesemuanya adalah Melayu.
Seramai 15 orang pelajar lelaki mengambil MPV Landskap dan Nurseri
manakala bakinya iaitu seramai 5 orang mengambil MPV Katering dan
Penyajian. Kesemua 14 pelajar perempuan mengambil MPV Katering dan
Penyajian. Pelajar-pelajar ini mengambil mata pelajaran MPV berdasarkan
keputusan PMR tahun 2001.
Pelajar-pelajar MPV ini
mengambil lapan mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras dan dua
mata pelajaran pilihan. Mereka belajar Bahasa Melayu, Matematik, Sains,
Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Islam, Pendidikan Seni dan MPV sama
ada MPV Landskap dan Nurseri atau MPV Katering dan Penyajian.
Sebagai di antara sekolah
perintis MPV di Malaysia pada tahun 2002, SMK Telok Kerang menawarkan
dua MPV iaitu MPV Landskap dan Nurseri dan MPV Katering dan Penyajian.
Pada permulaannya, guru-guru yang mengajar kedua-dua mata pelajaran itu
ialah En. Hasan Bin Kasmuri (MPV Landskap dan Nurseri) dan Pn. Tan Yong
Hock (MPV Katering dan Penyajian). Kedua-dua orang guru ini telah
mengikutu kursus intensif mengenai MPV yang dikendalikan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia.
2. Mata Pelajaran Vokasional Yang Ditawarkan
SMK Telok Kerang telah
dipilih sebagai sekolah perintis bagi pelaksanaan mata pelajaran baru
iaitu Mata pelajaran Vokasional (dahulu dikenali sebagai Kemahiran Asas
Industri). Pada 28 Ogos 2001, Pn. Kong Meow San, seorang pegawai Pusat
Perkembangan Kurikulum Kementerian Pelajaran Malaysia datang ke sekolah
ini untuk memantau situasi, kemudahan dan kesedian sekolah ini untuk
melaksanakan mata pelajaran ini iaitu Landskap dan Nurseri dan Katering
dan Penyajian.
Pada 26 September 2001, mesyuarat penyelarasan program kemahiran
asas industri sekolah-sekolah negeri Johor 2001 telah diadakan di SMK
Parit Bunga, Muar, Johor. En. Hasan Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock
guru yang dipilih untuk mengajar mata pelajaran ini telah menghadiri
mesyuarat tersebut. Dalam masyuarat itu, guru-guru telah diminta oleh
Jabatan Pelajaran Negeri Johor untuk menyenaraikan peralatan yang
diperlukan oleh sekolah bagi melaksanakan MPV berdasarkan senarai harga
yang telah diberikan.
Pada bulan September 2001 En. Hasan Bin Kasmuri telah menghadiri
Kursus Landskap dan Nurseri di Institut Latihan MARDI, Serdang, Selangor
selama 3 minggu. Manakala Pn. Tan Yong Hock pula menghadiri Kursus
Katering dan Penyajian di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur.
Pada permulaan sesi
persekolahan pada tahun 2002, dua mata pelajaran vokasional iaitu
Landskap dan Nurseri dan Katering dan Penyajian secara rasminya
ditawarkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan 4 di SMK Telok Kerang.
3. Kemudahan Bengkel, Bahan dan Peralatan
SMK Telok Kerang menyedari
bahawa banyak perbelanjaan perlu dikeluarkan untuk membeli peralatan,
bahan dan mengubahsuai bangunan serta membina rumah tumbuhan. Pengetua
pada masa itu Tn. Hj. Mahiyar Bin Kasmoin menyarankan agar menggunakan
wang peruntukan mata pelajaran Sains Pertanian untuk menampung sedikit
kos bagi pelaksanaan MPV di sekolah ini di samping mengharapkan
peruntukan dari Kementerian Pelajaran Malaysia dan Jabatan Pelajaran
Negeri Johor.
Pada bulan November 2001, Kementerian Pelajaran Malaysia melalui
Pejabat Pelajaran Daerah Pontian memberi peruntukan untuk mengubahsuai
bengkel Sains Pertanian dan membina rumah tumbuhan yang dijangka siap
pada akhir bulan Disember. Pada bulan itu juga, kerja-kerja mengubahsuai
dan membina rumah tumbuhan telah dimulakan. Kerja-kerja tersebut dapat
disiapkan pada bulan Februari 2002.
Segala peralatan dan bahan
mata pelajaran Landskap dan Nurseri dibeli dengan menggunakan peruntukan
mata pelajaran Sains Pertanian. Pembelian ini merupakan penambahan
kepada bahan dan peralatan sedia ada bagi mata pelajaran Sains
Pertanian. Satu peruntukan daripada Jabatan Pelajaran Negeri Johor telah
diterima pada bulan Disember 2001 yang terdiri daripada jentera dan
peralatan melukis yang nilainya sebanyak RM5,000.00.
Pada akhir bulan September 2002 MPV Landskap dan Nurseri dapat
peruntukkan untuk membina dan menambahbaikan kemudahan yang telah sedia
ada. Pembinaan yang dijalankan ialah sebuah setor, ruang penyediaan
medium, sebuah pondok jualan, sebuah tapak penyemaian berukuran 10 kaki X
90 kaki.
Pada bulan Disember 2002 MPV landskap dan Nurseri telah mendapat
bekalan peralatan dari Kementerian Pelajaran Malaysia. Pada ketika ini
semua perbelanjaan yang berjumlah RM3,500.00 untuk penubuhan MPV
Landskap dan Nurseri dikeluarkan daripada peruntukkan mata pelajaran
Sains Pertanian. Perbelanjaan itu merangkumi pembelian peralatan, pasu
bunga, bahan-bahan medium, baja, racun kimia, dan lain-lain keperluan.
Sokongan daripada Tuan Pengetua dan pentadbir SMK Telok Kerang amat
memuaskan.
Walaupun dengan peruntukkan mata pelajaran MPV Landskap dan Nurseri
yang terhad, saya rasa mata pelajaran ini masih boleh berjalan dengan
baik. Kami menggunakan kemudahan yang minima. Kemudahan-kemudahan
pembelajaran akan ditambah dan ditingkatkan dari masa ke semasa. Masalah
yang timbul boleh diatasi kerana kemudahan bengkel Landskap dan Nurseri
sama dengan kemudahan bengkel Sains Pertanian dan Kemahiran Hidup
Pertanian. Semua kemudahan ini boleh digunakan oleh ketiga-tiga mata
pelajaran ini. Semoga dengan siapnya pembinaan penambahbaikan yang
sedang dijalankan sekarang, ianya akan dapat meningkatkan prestasi
pelajar Landskap dan Nurseri.
4. Prestasi Peperiksaan Pelajar MPV Landskap dan Nurseri
Pencapaian dan prestasi
pelajar MPV Landskap dan Nurseri dalam peperiksaan dan kerja kursus
adalah berbeza. Semua pelajar kompeten dalam latihan amali kerja kursus
dan mutu kerjanya adalah sangat baik. Dalam peperiksaan bertulis, mereka
masih pada tahap sederhana. Kami faham dan sedar bahawa mereka adalah
pelajar terpilih yang datang bersama beberapa masalah pembelajaran.
Kesemua pelajar ini boleh membaca tetapi tidak gemar membaca buku. Namun
demikian mereka amat menyukai, positif dan bersedia khususnya dalam
kerja amali mata pelajaran Landskap dan Nurseri. Kami harap dengan
adanya MPV ini dan dengan disokong oleh mata pelajaran lain,
pelajar-pelajar ini akan bersedia melangkah ke alam kerjaya dengan yakin
berbekalkan kemahiran yang diperolehi oleh mereka.
5. Pengajaran dan Pembelajaran
Selepas diumumkan keputusan
PMR tahun 2001, pihak sekolah telah mengenal pasti pelajar-pelajar yang
dipilih dan layak untuk mengambil MPV Landskap dan Nurseri dan MPV
Katering dan Penyajian.
Mulai sesi persekolahan tahun 2002, dalam program suai kenal untuk
pelajar-pelajar Tingkatan 4, telah diadakan satu taklimat mengenai Mata
Pelajaran Vokasional. Tugas memberi taklimat ini diberi kepada En. Hasan
Bin Kasmuri dan Pn. Tan Yong Hock. Satu taklimat kepada ibu dan bapa
yang anaknya dipilih telah diadakan. Ibu bapa bersetuju dengan langkah
sekolah ini menawarkan MPV kepada anak-anak mereka. Ibu bapa berharap
anak-anak mereka boleh mengikuti mata pelajaran ini kerana mereka tidak
perlu menghantar jauh anak-anak mereka ke SMT/V.
Pada awalnya, proses pengajaran dan pembelajaran MPV yang
diperuntukkan 12 waktu seminggu dengan pelaksanaannya 4 waktu sehari
selama 3 hari. Pada ketika itu pelajar-pelajar mengambil 7 mata
pelajaran sahaja. Guru mengajar dengan menggunakan Modul Pembelajaran
yang dibekalkan semasa berkursus. Proses pengajaran dan pembelajaran
dijalankan menumpang di Makmal Elektrik Kemahiran Hidup.
Pada pertengahan bulan Mac 2002 apabila pengubahsuaian bengkel Sains
Pertanian yang dijadikan bengkel Landskap dan Nurseri siap sepenuhnya,
guru-guru dan pelajar-pelajar berpindah ke bengkel baru. Kerja-kerja
mengemas, membersih dan menyusun atur dijalankan sewaktu pembelajaran.
Proses pengajaran dan pembelajaran dapat dijalankan mengikut modul
percubaan yang diterima daripada Kementerian Pelajaran Malaysia melalui
pos. Malangnya hanya satu modul yang diterima. Guru terpaksa membuat
beberapa salinan untuk diberi kepada pelajar secara berkongsi. Satu set
Sukatan Pelajar dan Huraian Sukatan Pelajaran telah diterima daripada
Pusat perkembangan Kurikulum.
Atas persetujuan Tuan Pengetua, kawasan rumah tumbuhan asal telah
disimenkan. Kemudian dibuat pula teres-teres konkrit untuk tujuan
mempamerkan produk tanaman yang telah sedia untuk pameran dan jualan.
Pada 8 Februari 2002, Jabatan Pelajaran negeri Johor memanggil
guru-guru MPV bermesyuarat di SMK Parit Bunga, Muar, Johor. Dalam
taklimatnya, semua pelajar MPV mesti mengambil minima 8 mata pelajaran
untuk layak masuk ke universiti, tidak 7 mata pelajaran. Dengan jadual
waktu baru yang siap pada 23 April 2002, pelajar-pelajar MPV sekolah ini
mengambil 8 mata pelajaran iaitu enam mata pelajaran teras, satu mata
pelajaran MPV dan satu mata pelajaran lagi ialah Pendidikan Seni. Jadual
waktu baru juga memperuntukan 6 waktu sehari kepada MPV atas
pertimbangan MPV Katering dan Penyajian tidak dapat menyiapkan amali
dalam 4 waktu sehari. Pelajar-pelajar MPV juga dibenarkan oleh Tuan Pengetua memakai
kemeja-t semasa belajar mata pelajaran ini supaya mereka selesa semasa
melakukan kerja amali.
Pada bulan Julai 2002, guru-guru MPV telah menghadiri kursus kaedah
mentaksir kerja-kerja pelajar. Kursus ini sememangnya amat diperlukan
kerana guru-guru MPV masih dalam kekaburan untuk menilai dan mentaksir
kompetensi pelajar-pelajar. Daripada kursus tersebut, penskoran pelajar
dapat dibuat dengan lebih adil berdasarkan standard yang telah
ditetapkan. Ianya bersifat terbuka. Pengajaran dan pembelajaran,
teguran, perbincangan dan saranan dijalankan secara dua hala. Dengan itu
pengajaran dan pembelajaran berjalan dengan lebih baik.
6. Harapan dan Perkara-perkara Lain Yang Berkaitan
- Sebenarnya mata pelajaran ini bagus untuk pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik. Pada pandangan saya, walaupun pelajar-pelajar ini lemah dalam akademik tetapi mereka amat baik dalam 'hands on'. Mereka boleh menyiapkan kerja amali dalam waktu yang ditetapkan dan hasil kerja mereka memuaskan.
- Mata pelajaran ini berupaya dan mampu memberi keseronokan dalam pendidikan sekolah khususnya bagi pelajar-pelajar yang lemah dalam akademik. Mereka juga suka datang ke sekolah terutamanya semasa ada MPV.
- Walaupun mata pelajaran ini berbentuk modular, adalah lebih baik jika Kementerian Pelajaran Malaysia menyediakan buku teks atau buku rujukan. Kebanyakan buku-buku rujukan yang berkaitan landskap dan nurseri sama ada tempatan atau yang diimport adalah mahal harganya.
- Penambahan peruntukan kewangan bagi mata pelajaran ini bagi membeli bahan dan peralatan dan juga bagi membawa pelajar-pelajar melawat ke tapak-tapak nurseri dan kawasan-kawasan taman dan landskap bagi meningkatkan ilmu pengetahuan mereka.
- Kementerian Pelajaran Malaysia perlu meningkatkan prasarana bengkel Landskap dan Nurseri kerana ia boleh memberi persepsi baik masayarakat dan pasaran kerja terhadap MPV Landskap dan Nurseri. Alat-alat seperti komputer, pengimbas, kamera, pencetak dan LCD projector sememangnya diperlukan dan boleh diguna pakai untuk menyimpan dan memaparkan bahan bukti (eviden).
- Kami memohon agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat menyediakan seorang pembantu guru untuk menyediakan peralatan dan bahan semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
- Diharap dan diminta agar Kementerian Pelajaran Malaysia dapat mengadakan siri kursus kepada guru-guru untuk meningkatkan kemahiran guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini.
7. Penutup
Semoga MPV Landskap dan
Nurseri ini mampu memberi satu kelainan pembelajaran kepada
pelajar-pelajar yang datang ke sekolah dan kepada pelajar-pelajar yang
mengambil mata pelajaran ini. Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang
berlainan dan kaedah pentaksiran kompetensi berdasarkan sesuatu standard
mampu menarik minat pelajar. Harapan saya, setelah menamatkan
pembelajaran MPV Landskap dan Nurseri selama dua tahun, pelajar-pelajar
ini boleh menggunakan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman yang
dimiliki untuk membina masa hadapan dan kerjaya mereka dengan lebih
yakin.
Disediakan oleh,
Hasan bin Kasmuri
Guru MPV Landskap dan Nurseri
SMK Telok Kerang, Pontian, Johor
April 2003