30 August 2013

MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN DAN BERDOA ATAS KESEJAHTERAAN MALAYSIA YANG MERDEKA



Pagi ini bertempat di Dataran Nilam semua warga SMKTK yang beragam Islam berkumpul di dalam majlis membaca Surah Yasin dan sama-sama memanjatkan doa atas kesejahteraan Malaysia yang merdeka. Majlis diadakan sempena ulang tahun sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke-56.

Doa kesejahteraan Malaysia dipimpin oleh Ustaz Sukri b Osman dan diaminkan oleh warga SMKTK yang beragama Islam. 

'Segala puji bagi Allah, Tuhan pemilik seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda serta para sahabat sekalian. 

Ya Allah, 

Kami bersyukur kepada-Mu dengan kesyukuran yang tidak terhingga. Kami memuji-Mu dengan pujian yang tidak terhingga diatas nikmat kemerdekaan, kemakmuran serta keselamatan Negara kami sehingga kami dapat hidup dalam keadaaan aman dan damai, makmur dan sejahtera. Dapat merancang dan melaksanakan segala rancangan demi kepentingan agama, bangsa dan Negara kami.

Ya Allah, Ya Aziz Ya Qahhar

Kami memohon kepada-Mu, jadikanlah sambutan perayaan bulan kemerdekaan Malaysia kali ke 56 ini dan hari-hari seterusnya sentiasaberada dalm taufik dan hidayah-Mu, ‘inayah serta ri’ayah-Mu, rahmat dan nikmat-Mu, berkat dan kelimpahan-Mu, pemeliharaan dan penjagaan-Mu, pengawasan dan perlindungan-Mu, keselamatan dan keamanan-Mu, kejayaan dan kemenangan-Mu, pertolongan dan bantuan-Mu juga sentiasa dalam kejayaan dan kecemerlangan, kemakmuran dan keselamatan, tanpa halangan dan gangguan.

Ya Allah, Ya Jabbar Ya Muntaqim

Jauhilah Negara kami daripada segala keburukan dan kejahatan, bala bencana, musibah dan penyakit, seteru dan musuh-musuh Negara, penderitaan dan kesusahan.

Ya Allah, hindarilah kami daripada api permusuhan , dendam kesumat, pertelingkahan pendapat, dan anasir-anasir negatif yang boleh merosakkan perpaduan di kalangan kami. Semoga kami dapat menyempurnakan tugas-tugas kami dengan kejayaan dan kecemerlangan.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Jadikanlah nikmat kebebasan dan kemerdekaan Negara kami yang Engkau telah anugerahkan kepada kami sebagai satu nikmat yang berkekalan dan berterusan sehingga ke hari kiamat serta jadikanlah Negara kami ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan damai, tenteram dan bahagia, bermaruah dan berdaulat, menjadi contoh dan ikutan di sepanjang zaman.

Ya Allah, ampunilah dosa dan kesalahan pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah mewariskan sebuah Negara yang merdeka, aman, makmur dan sejahtera dan cucurilah rahmat dan keampunan kepada roh0roh pejuang kemerdekaan yang telah terkorban demi mempertahankan agama, bangsa dan Negara.

Ya Allah

Kurniakanlah taufik serta hidayah-Mu, perlindungan dan pemeliharaan-Mu, ri’ayah serta ‘inayah-Mu kepada Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan AgungAl-Muktasin Billah Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muazam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan Raja Permaisuri Agung, pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat sekalian.

Ya Allah, sempurnakanlah urusan kami pada hari ini dan pada hari-hari yang seterusnya dengan kejayaan dan kecemerlangan.

Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami pada hari ini iaitu Majlis Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Kali Ke 56 Tahun 2013, satu perhimpunan yang dirahmati dan diberkati, dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini suatu perpisahan yang diredhai dan mendapat perlindungan-Mu. Seterusnya berkatilah majlis ini dari awal hingga ke akhirnya. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih Maha Penyayang'.




















SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :