12 September 2013

PPPM: ASPIRASI SISTEM PENDIDIKAN

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia berhasrat untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan, iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan, dan kecekapan. Keberhasilan yang ditetapkan ini adalah selari dengan aspirasi yang turut disuarakan oleh peserta semasa Dialog Nasional dan setanding juga dengan keberhasilan yang ditetapkan oleh sistem pendidikan berprestasi tinggi yang lain. 

Tindakan bagi merealisasikan lima aspirasi berkenaan adalah penting, dan tidak ada inisiatif  dalam mana-mana aspek berkenaan yang boleh menjejaskan atau menghalang kemajuan yang lainnya.
  • Akses: Setiap kanak-kanak warganegara Malaysia berhakmendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing. Kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan 5)  menjelang 2020.
  • Kualiti: Semua kanak-kanak akan berpeluang mendapat pendidikan cemerlang berdasarkan keunikan sistem pendidikan di Malaysia, dan setanding dengan sistem pendidikan antarabangsa. Aspirasi sistem pendidikan negara adalah untuk  meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran TIMSS dan PISA dalam tempoh 15 tahun yang akan datang (TIMSS dan PISA menguji Bacaan, Matematik dan Sains sahaja). Pentaksiran tambahan yang menangani dimensi kualiti lain yang relevan dengan konteks Malaysia boleh dimasukkan apabila dimensi itu dibangunkan dan diterima di peringkat antarabangsa.
  • Ekuiti: Sistem pendidikan berprestasi tinggi menyediakan pendidikan yang terbaik kepada setiap kanak-kanak tanpa mengira kedudukan geografi, gender atau latar belakang sosioekonomi. Kementerian berhasrat untuk merapatkan lagi jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50% menjelang 2020.
  • Perpaduan: Murid yang berusia antara 7 hingga 17 tahun menghabiskan lebih satu perempat daripada masa mereka di sekolah. Melalui interaksi bersama murid lain daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi, agama dan etnik, murid belajar memahami, menerima dan menghayati perbezaan. Keadaan ini mewujudkan suatu perkongsian pengalaman dan aspirasi bagi membina masa hadapan Malaysia. Kementerian berhasrat menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuhkan lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.
  • Kecekapan: Sistem pendidikan Malaysia telah menerimaperuntukan yang tinggi, namun peningkatan keberhasilan murid masih tidak sepadan dengan sumber yang telah disalurkan ke dalam sistem. Walaupun Kerajaan akan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa, Kementerian berhasrat untuk memaksimumkankeberhasilan  murid mengikut tahap peruntukan semasa.

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :