Sebagai
guru, jangan sekali-kali mengamalkan sikap serta tingkah laku yang tidak
rasional apabila berurusan dengan kerja dan tanggung jawab khususnya
dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Sikap tidak
rasional yang membelenggu diri guru akan membawa kepada kegagalan dalam
menyelesaikan tanggung jawab yang diamanahkan.
Antara perkara-perkara yang tidak rasional diamalkan oleh guru-guru adalah seperti:
- Sering bertindak dengan bermatlamatkan kepentingan diri dan agenda sendiri.
- Mengamalkan sikap mementingkan rakan kumpulan atau kronisme. Disamping itu sering mengamalkan pilih kasih dan mengamalkan sikap tidak adil.
- Tidak mempunyai pengetahuan yang cukup tentang mata pelajaran yang diajar dan tidak mengambil inisiatif untuk mendalaminya supaya pengajaran guru itu lebih berkesan dan mantap.
- Kemahiran tentang kaedah, teknik, pedagogi dan proses pengajaran dan pembelajaran secara keseluruhannya berada pada tahap yang paling minima, biasa-biasa sahaja dan tiada usaha penambahbaikan.
- Tidak benar-benar komited dan serius terhadap tugas sebagai seorang guru.
- Adanya ciri-ciri kelemahan peribadi dari segi sikap dan tingkah laku yang ditunjukkan yang membawa kesan negatif serta implikasi yang tidak wajar sebagai seorang guru.
- Lebih berminat kepada tugas-tugas luar bilik darjah atau luar sekolah.
- Tidak fokus kepada tanggungjawab seorang guru. Fokus utama guru adalah di bilik darjah.
- Mencampuradukkan hal-hal peribadi dengan tugas hakiki di sekolah. Urusan peribadi serta kepentingan peribadi boleh menjejaskan kualiti kerja.
- Sering dibelenggu dengan rasa ketidakpuasan bekerja. Gagal untuk mengatasi stress dansering meletakkan 'diri sendiri adalah betul dan orang lain adalah salah'.
- Tidak mahu atau mengelak daripada membina jalinan komunikasi atau hubungan interpersonal dengan warga sekolah yang lain. Suka mengasingkan diri atau berkelompok dengan geng sendiri.
- Emosi diri mengatasi kematangan fikiran.
- Tidak mahu keluar daripada 'kebiasaan yang telah wujud sekian lama'. Hanya melakukan 'yang itu itu sahaja'. Tiada perubahan cara dan kaedah pengajaran.
- Tidak mahu berubah kepada trend, suasana dan pendekatan pengajaran dalam pendidikan masa kini.
- Hala tuju pengajaran yang kurang jelas dan samar-samar. Hanya melaksanakan tugas sebagai seorang guru pada tahap paling minima yang biasa sahaja.