31 March 2012

MESYUARAT AGUNG PIBG KE-35 DAN MAJLIS ANUGERAH KECEMERLANGAN

Pagi ini diadakan serentak Mesyuarat Agung PIBG ke-35 bersekali dengan majlis anugerah kecemerlangan. Perasminya ialah Yang Berbahagia En. Mesnor b Bujang, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Tanjung Piai. Pada mesyuarat kali ini ahli-ahli PIBG memilih AJK PIBG yang baru bagi sessi 2012-2014.

Pada majlis anugerah kecemerlangan, ucapan-ucapan didahului oleh Tuan Pengetua, En. Abdul Hamid b Abu Bakar yang diikuti oleh ucapan Yang Dipertua PIBG Tn. Hj. Md Foad b Jawadi dan seterusnya ucapan perasmian oleh En. Mesnor b Bujang. Seterusnya En. Mesnor b Bujang menyampaikan sijil-sijil dan hadiah kecemerlangan kepada penerima-penerima anugerah.







30 March 2012

PENGETUA, GURU-GURU DAN MURID-MURID SMK SRI TANJUNG MELAWAT PROJEK FERTIGASI ROCKMELON SMKTK

Pagi ini rombongan pengetua, guru-guru dan murid-murid pendidikan khas SMK Sri Tanjung berkunjung ke sekolah kami. Tujuan kedatangan mereka adalah untuk melawat, meninjau dan belajar mengenai penanaman secara fertigasi khususnya tanaman buah rockmelon. Secara kebetulan buah-buah yang bergantungan itu hampir masak (belum cukup hari untuk dituai), maka dapatlah mereka merasa buah-buah tersebut. Cikgu Hasan Kasmuri sebagai Pengurus Projek dengan dibantu oleh Abang Roslee, Halim Rahmad dan Syahmi Hamsaton (kedua-duanya pengerusi dan setiausaha Kelab Landskap dan Taman) berusaha memberi taklimat, maklumat dan melayan rombongan tersebut.










22 March 2012

HALA TUJU LEPASAN SPM

Debaran menanti keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2010 telah berakhir dengan pengumuman rasmi keputusan peperiksaan berkenaan pada 23 Mac 2011 yang lalu. Apa yang telah tercatat pada slip keputusan berkenaan tentunya tidak dapat diubah lagi. Sebaliknya apa yang lebih penting adalah menentu haja tuju seterusnya berdasarkan minat, cita-cita dan keputusan yang diperolehi.

Maklumat yang tepat dan terkini diperlukan untuk membuat pilihan terbaik. Sepatutnya sebelum keputusan keluar lagi, pelajar sudah pun memiliki gambaran terhadap tindakan mereka selepas keputusan diumumkan. Oleh itu maklumat yang lengkap perlu dikumpul dan diperolehi sewaktu menunggu keputusan peperiksaan lagi.

Sukar untuk membuat keputusan tepat yang bakal menentukan masa depan sendiri tanpa panduan yang lengkap. Akhirnya memilih bidang-bidang tertentu dalam keadaan tergega-gesa… Keputusan pada peringkat ini sangat penting kerana kebanyakan bidang yang dipilih selepas SPM bakal menentu hala tuju kerjaya yang sebenar. Pemilihan hendaklah berdasarkan minat dan kecenderungan selain keputusan peperiksaan. Awas.. jangan ikut-ikut kawan.

Berikut adalah sedikit maklumat mengenai pilihan kerjaya/halatuju selepas SPM, mungkin boleh memberi sedikit gambaran kepada pelajar lepasan SPM:
  1. Universiti - Pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang bolehlah memilih universiti sebagai destinasi mereka selepas SPM. Jika anda ingin ke universiti, anda harus memohon UPU lepasan SPM/setaraf sebelum ditawarkan program diploma atau asasi di mana-mana IPTA di Malaysia.
  2. Kolej Matrikulasi - Selain program Asasi, anda boleh memohon matrikulasi samada dalam aliran sains (sains hayat & sains fizik), perakaunan dan kejuruteraan.. Seperti juga Asasi, selepas Matrik, boleh apply UPU lagi di mana anda akan memilih course untuk pengajian ijazah anda. Anda boleh mengikuti program setahun yang mana dapat menjimatkan masa untuk mengikuti program ijazah. Ada juga program matrik 2 tahun, bergantung kepada keputusan SPM anda. Pelajar lulusan matrikulasi yg mendapat PNGK 2.00 ke atas adalah layak meneruskan pengajian di dalam dan luar negara dan diberi keutamaan oleh semua IPTA (kecuali IPTA yang mempunyai program asasi sendiri) untuk menyambung pengajian.
  3. Luar Negara - Pelajar yang minat dan layak untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, boleh berbuat demikian. UK, US, Australia, New Zealand, Indonesia, India, Japan, Korea, France, Egypt, Russia, Ireland dan Canada antara negara-negara yang menjadi pilihan pelajar-pelajar Malaysia.
  4. Politeknik dan apa jua Program Teknikal dan Latihan - Jangan berputus asa sekiranya anda gagal UPU dan matrik. Anda masih boleh melanjutkan pelajaran di politeknik-politeknik seluruh Malaysia. Bila dah dapat result SPM, mohon cepat-cepat sebelum tutup tarikh permohonan. Di politeknik, anda boleh mohon sijil atau diploma. Difahamkan ada 3 politeknik yang bakal dinaik taraf menjadi universiti. Politeknik Ungku Omar (PUO) dan Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS) antara politeknik yang bagus dari segi akademiknya. Banyak juga program yang ditawarkan di ILP dan ILJTM, MLPK dan sebagainya. Harus diingat bahawa taraf sijil adalah sama dengan SPM cuma gaji permulaan lebih sikit. Diploma sama dengan STPM, tapi gaji permulaan lebih sikit.
  5. Kolej-kolej - Kalau beli newspaper sekarang ni, banyak iklan-iklan kolej swasta. Tapi kena pandai pilihlah kolej mana yang bagus. Kalau nak sangat masuk kolej, saya rekemenkan anda masuk kolej-kolej yang ada nama sikit seperti Kolej Mahsa atau Masterskill. Nanti masuk kolej yang tak diiktiraf MQA (dahulunya LAN), susah nak dapat kerja sudahlah kos pengajiannya agak tinggi. Anda boleh juga mohon medical courses seperti Farmasi, Teknologi Makmal Perubatan dan Sains Kesihatan sebab banyak juga peluang pekerjaan menanti anda diluar sana. Ada juga kolej yang menawarkan program diploma bersekutu dengan IPTA-IPTA di Malaysia. Contohnya di Kolej Shahputra ada ditawarkan program diploma UiTM. Anda juga boleh mohon Kolej Komuniti. Buatlah pilihan yang bijak dan berhati-hati.
  6. Tingkatan 6 - Ramai juga pelajar lepasan SPM menjadikan tingkatan 6 sebagai destinasi terakhir mereka selepas SPM. Kenapa tingkatan 6 kurang popular? Bila masuk tingkatan 6, rasa macam budak-budak sekolah lagi kan? Lagipun biasanya pelajar memilih tingkatan 6 setelah gagal memasuki IPT. Kena pakai uniform sekolah, kena pergi ke sekolah, ada perhimpunan dan sebagainya. Tak macam di universiti, matrikulasi atau kolej yang ada sedikit kelonggaran. Dengan keputusan yang baik, lepasan STPM boleh terus buat Ijazah pertama.
  7. Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) - Ramai yang tidak tahu kewujudan website SPA dan ada juga yang tak tahu langsung pasal SPA ini. SPA ni boleh anda mohon kerja-kerja tertentu seperti jururawat, juru x-ray, juruaudit, juruukur dan sebagainya. Jika permohonan anda berjaya, anda akan ditemuduga. Lulus temuduga barulah anda akan ditawarkan melanjutkan pengajian di kolej-kolej kejururawatan. Untuk kerja selain jururawat, saya tak berapa pasti.
  8. Akademi Laut Malaysia (ALAM) - Sesiapa yang berminat untuk melibatkan diri dengan dunia pekerjaan yang lebih mencabar, bolehlah mohon Akademi Laut Malaysia (ALAM).
  9. Kursus Ketenteraan - Bagi sesiapa yang berminat dengan aktiviti lasak serta tahan dengan cabaran dan dugaan fizikal yang tinggi, bolehlah membuat permohonan ini. Anda boleh memohon untuk memasuki Universiti Pertahanan Nasional Malaysia… Pelajar yang diterima masuk akan mendapat elaun sepanjang pengajian tersebut. Lepasan SPM juga boleh mohon pengajian peringkat Ijazah di Akademi Tentera Malaysia (ATMA).
  10. Kursus Penerbangan - Mesti ramai yang berminat dengan kursus ini.Kursus ini merangkumi kerjaya seperti juruterbang, pramugara, pramugari dan ahli-ahli biasa di kawasan lapangan penerbangan. Kerjaya seperti juruterbang, pramugari dan pramugara ini lebih kepada di awangan biru manakala ahli biasa lebih kepada proses teknikal di kawasan lapangan penerbangan.
  11. IPG - Bagi mereka yang berminat menceburi bidang perguruan bolehlah memohon kerjaya ini. Kini peluang pekerjaan masih luas di bidang perguruan dan mudah sedikit naik pangkat berbanding kebanyakan jabatan lain. Malah kerjaya ini akan memberi kepuasan sekiranya anda ingin berbakti kepada anak bangsa kelak. Walaupun agak mencabar serta bebanan tugas yang bakal ditempuhi, perkara ini umpama seperti alah bisa tegal biasa. Jadi bekerjalah dalam mendidik anak bangsa sehingga berjaya dan berguna untuk masyarakat dan negara kelak.
  12. Dan lain-lain lagi…

Sumber maklumat mestilah tepat supaya pilihan yang dibuat adalah tepat, bidang yang diceburi paling sesuai dengan pelajar, diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan mempunyai pasaran pekerjaan yang tinggi kelak. Antara sumber yang boleh anda rujuk adalah kaunselor di sekolah. Kaunselor di sekolah sentiasa diberi pendedahan mengenai maklumat terkini pemilihan kerjaya dan peluang-peluang menyambung pelajaran. Anda juga boleh merujuk rakan-rakan senior yang berpengalaman, mengunjungi pameran-pameran dan carnival pendidikan, mengunjungi laman-laman web institusi dan agensi berkaitan, Rujukan Informasi Kerjaya Lepasan SPM dan sebagainya.

Dalam pada pelajar berusaha membuat perbandingan tentang kursus pengajian, ayuh amalkan juga solat istikharah serta sentiasa berdoa semoga Allah memberikan ilham untuk kita membuat keputusan terbaik yang diharapkan dapat membawa kebaikan kepada kehidupan kita di dunia ini dan juga di akhirat kelak.

Sumber: rahsiaanakpintar.com

21 March 2012

KEPUTUSAN SPM 2011

Kami mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua pelajar yang telah mendapat keputusan sama ada cemerlang atau yang kurang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Peajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan hari ini.

Seramai 468,808 calon di seluruh negara menduduki peperiksaan SPM tahun lalu.

Daripada keputusan yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Kementerian Pelajaran Malaysia itu, seramai 559 calon SPM memperoleh gred cemerlang tertinggi (A+) bagi semua mata pelajaran yang diduduki, berbanding pada tahun 2010. Pencapaian keseluruhan calon SPM 2011 juga bertambah baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 5.04, berbanding 5.19 pada tahun 2010.

Daripada jumlah itu, seramai 506 adalah calon sekolah menengah kebangsaan manakala 53 lagi calon dari sekolah selain sekolah menengah kebangsaan berbanding masing-masing 363 dan 40 calon pada tahun 2010.

Kami mengharapkan pelajar-pelajar SMKTK yang mendapat keputusan sama ada cemerlang atau yang kurang cemerlang dalam SPM ini akan terus melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading atau ke mana-mana institut atau kolej sehingga mendapat pencapaian terbaik di peringkat yang tertinggi.

Kejayaan yang dicapai hari ini bukanlah pengakhiran segalanya, tetapi ia adalah permulaan bagi melakar kejayaan yang lebih cemerlang di masa akan datang. Ia juga bukan suatu kegagalan buat mereka yang tidak memperolehi keputusan cemerlang, tetapi sebagai suatu musahabah buat membina langkah kejayaan di masa akan datang.

20 March 2012

GOTONG-ROYONG MEMBERSIHKAN KAWASAN SEKOLAH

Pagi ini pada masa kegiatan kokurikulum, warga SMKTK beramai-ramai bergotong-royong membersihkan kawasan sekolah. Mereka dibahagikan kepada beberapa kumpulan mengikut kelas untuk membersihkan kawasan-kawasan tertentu. Guru-guru bersama murid-murid bersama-sama menjayakan aktiviti ini. Dengan adanya aktiviti ini diharap kawasan sekolah kelihatan bersih dan ceria sepanjang masa.








19 March 2012

PELAJAR-PELAJAR MPV LANDSKAP SMKTK MEMBINA TAMAN SEKOLAH (1)

Pelajar-pelajar Landskap & Nurseri memikul amanah untuk membina sebuah taman di SMKTK. Mereka dibimbing oleh Cikgu Hasan Kasmuri, guru mata pelajaran MPV Landskap & Nurseri. Nama taman belum ada lagi. Taman yang berkonsepkan taman rekreasi itu terletak di sepanjang susur gajah bersebelahan gelanggang bola jaring. Berpandukan kepada pelan induk yang telah dilukis, pelajar-pelajar ini cuba menerapkan ilmu perlandskapan yang dipelajari ke alam nyata bagi tatapan, penghayatan dan kegunaan warga sekolah. Pada masa ini mereka sedang membentuk permukaan tanah. Diharap cuaca yang baik akan dapat membantu mereka menyiapkan pembentukan permukaan tanah ini.







16 March 2012

BIJAK MENGURUSKAN MASA MENJADIKAN KEHIDUPAN LEBIH BERNILAI

Bijak pandai ada menyatakan, masa itu emas. Sejak zaman dulu manusia mengakui bahawa emas adalah sesuatu yang begitu berharga dan bernilai. Memiliki emas sama ada sebagai harta atau barang perhiasan juga membanggakan diri. Melihat pada mahalnya nilai emas di pasaran dan sukar pula untuk memperolehnya tanpa ikhtiar dan usaha, maka nilaiannya disandarkan kepada masa. Walaupun emas tetap mahalnya, namun jika dibandingkan dengan masa, nilainya sama sekali tidak dapat disamakan dengan harta benda dan wang ringgit, kerana masa tidak boleh ditukar ganti atau boleh dibeli dan dikembali jika ia sudah berlalu.

Hukama’ pula mengibaratkan masa sebagai pedang. Sekiranya kita manusia tidak berusaha untuk mendahuluinya dalam maksud mengejar kepentingan dunia dan akhirat pada setiap masa, maka masa pasti akan mendahului kita, yakni kita akan mengalami kerugian besar kerana membiarkan masa berlalu tanpa diisi dengan perkara bermanfaat.

Masa cukup berharga kepada manusia. Bagi mereka yang mempunyai kerjaya, masa sudah tentu memainkan peranan penting kerana setiap saat yang dilalui, akan ada tugasan dan urusan yang harus diselesaikan mengikut kerjaya masing-masing.

Majikan umpamanya akan menilai keberkesanan tugasan pekerjanya dengan memperuntukkan tempoh dan waktu tertentu untuk mereka menyiapkan sebarang tugasan, apabila ia dapat disiapkan pada masa dan tempoh seperti yang telah ditetapkan, maka pekerja sebeginilah yang benar-benar memahami dan menghayati betapa pentingnya mengikut ketetapan masa.

Islam mengajar manusia cara dan kaedah menjaga dan mengurus masa dengan baik dan berkesan mengikut kehendak syariat. Di antara kaedahnya ialah:
  • Membuat perancangan teliti - Setiap pekerjaan sudah pasti akan dilaksanakan mengikut masa tertentu sama ada masa harian, mingguan, bulanan, tahunan dan sebagainya. Justeru itu, penjadualan adalah sesuatu yang mustahak. Jadual hendaklah disediakan dengan kemas dan rapi bagi mengelakkan berlakunya sebarang pembaziran masa. Tempoh penyiapan masa sesuatu kerja hendaklah ditetapkan tempoh tertentu bagi menentukan proses penyiapannya, untuk mengelakkan ia menjadi kerja tertangguh dan tidak sistematik. Nabi Allah Ibrahim sendiri umpamanya menyediakan jadual khusus dalam waktu hidupnya seharian sebagaimana berikut: Waktu untuk bermunajat (berzikir) kepada Allah, Waktu untuk bermuhasabah mengenai diri sendiri, Waktu untuk berfikir mengenai ciptaan Allah, dan Waktu untuk keperluan hidupnya seperti makan dan minum.
  • Sentiasa menepati masa – Sebagai umat Islam yang sentiasa inginkan kemajuan diri sendiri, masyarakat, bangsa dan negara, maka hendaklah menjadi orang yang sentiasa menepati masa sebagaimana ditetapkan untuk mengelak daripada timbulnya hal negatif yang lain akibat daripada kecuaian kita mematuhi ketepatan masa. Sebuah kata-kata hikmat menyatakan: ‘Jangan tangguh kerja hari ini sehingga hari esok’.
  • Jangan membazir masa – Orang yang benar-benar menghargai masa sentiasa memenuhi masa hidupnya dengan melakukan perkara bermanfaat untuk dirinya dan orang lain dengan mengelakkan diri daripada terbabit dengan pekerjaan makruh, apatah lagi yang haram dan maksiat.
  • Menjaga kualiti masa – Kualiti masa bagi seseorang tentunya berbeza-beza mengikut keupayaan, persepsi dan kemampuannya mengisi masa dalam kehidupan seharian. Namun begitu Islam menyusunnya mengikut batas tertentu yang pasti sesuai dan perlu diambil perhatian semua umat muslimin. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud: ‘Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara, iaitu masa sihatmu sebelum sakit, masa lapangmu sebelum sibuk, masa mudamu sebelum tua, masa senangmu sebelum susah dan masa hidupmu sebelum mati.’
  • Berlumba-lumba meningkatkan kualiti dan produktiviti. Berdasarkan hadis di atas juga maka manusia amat dituntut untuk menghasilkan sesuatu bermutu apabila sudah nekad melakukan sesuatu tugasan pada masa hidup, senang, sihat dan dalam usia muda dengan tenaga yang masih kuat, maka berusahalah untuk menghasilkan sesuatu natijah atau hasil yang benar-benar mampu untuk dibangga oleh orang lain. Firman Allah dalam surah al-Maidah bermaksud: ‘Hendaklah kamu berlumba-lumba melakukan kebaikan.’ Rasulullah SAW pula bersabda: ‘Sesungguhnya Allah kasih kepada seseorang di antara kamu apabila bekerja sentiasa meningkatkan mutu kerjayanya.’
  • Beristiqamah dalam melakukan kerja – Kekuatan untuk mengekalkan semangat dan usaha untuk beristiqamah apabila diberi tugasan untuk melakukan sesuatu dengan kehendak sendiri atau dengan arahan dan menganggap apa yang sedang dilakukan itu adalah ibadat kepada Allah Taala. Firman Allah dalam surah al-Syirhi bermaksud: “Maka apabila kamu selesai (daripada sesuatu urusan), kerjakanlah dengan bersungguh-sungguh (urusan) lain. Dan hanya kepada Tuhan-Mu hendaknya kamu berharap.”
  • Martabat manusia dinilai dengan masa – sabda Rasulullah SAW: “Sebaik-baik manusia yang panjang umurnya dan baik pula pekerjaannya, manakala sejahat-jahat manusia ialah yang panjang umurnya tetapi buruk pula amalannya”.

Sumber: Berita Harian

DASAR PENDIDIKAN MASA DEPAN

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan kerajaan akan membuat perancangan dan penilaian teliti serta komprehensif sebelum Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik sistem pendidikan negara dibentuk untuk memenuhi keperluan global dan cabaran masa depan. Ia membabitkan rombakan menyeluruh pendidikan teras sekolah rendah dan menengah, termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah bantuan kerajaan, sekolah agama, Orang Asli, pendidikan khas dan sekolah vokasional.

Bagi memastikan matlamatnya dicapai, pandangan, maklum balas dan idea rakyat akan menjadi sebahagian daripada pembentukan laporan pelan itu kerana kerajaan berpendapat pembabitan bersama rakyat sangat penting dalam penggubalan hala tuju sistem pendidikan negara.

Ojektif utama pelan itu adalah menilai kembali prestasi sistem pendidikan Malaysia melalui penanda aras antarabangsa seperti Kajian Aliran Dalam Sains dan Matematik Antarabangsa (TIMMS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) serta Penyata Razak pada 1956, Laporan Rahman Talib (1960) dan Penyata Mahathir (1979). Ia juga untuk memangkinkan transformasi sistem pendidikan dan menaik taraf penyampaian serta piawaian dalam pembentukan modal insan seiring keperluan ekonomi global dan wawasan 2020. Rombakan juga bertujuan melakar hala tuju transformasi Kementerian Pelajaran Malaysia sebagai organisasi yang mampu menjana aspirasi pendidikan dan menjadi contoh kementerian kepada sebahagian dari agenda program transformasi kerajaan,” katanya pada sesi taklimat kepada editor media, di sini semalam.

Sistem pendidikan baru itu berpandukan falsafah pendidikan kebangsaan yang juga akan membentuk aspirasi sistem pendidikan pada masa depan. Penilaian merangkumi dua fasa dengan fasa satu membabitkan penilaian semula atau diagnostik yang bermula sejurus pembentukan sebuah jawatankuasa kerja khas pada Oktober tahun lalu sehingga Februari 2012 dan fasa kedua pada April hingga November tahun ini yang membabitkan hala tuju dan pelan strategik.

Laporan fasa satu dibuat berasaskan kajian lain untuk memastikan ketepatan dan ketelusan fakta, termasuk kajian UNESCO, Bank Dunia, TIMSS, PISA dan lapan universiti tempatan, lawatan serta kaji selidik merangkumi 800 pengetua, 11,000 guru, 500 pegawai Jabatan Pendidikan negeri dan daerah, 13,000 pelajar serta ibu bapa. Selain itu, panel yang dianggotai anggota bebas tempatan dan antarabangsa di kalangan pakar pelbagai bidang sudah dibentuk untuk memberi perakuan dan maklum balas terhadap laporan fasa satu itu.

15 March 2012

LATIHAN BOLA SEPAK

Cuti sekolah ini pemain-pemain bola sepak SMKTK giat berlatih di padang sekolah. Semangat datang berlatih sudah ada. Semangat melawan, semangat kerjasama dan kesefahaman serta semangat membina kekuatan dalam pasukan belum lagi kelihatan...






13 March 2012

SEMAKAN KEPUTUSAN SPM 2011

Kepada semua pelajar yang mengambil peperiksaan SPM 2011 yang lepas, semakan keputusan SPM sudah boleh dibuat bermula pukul 12 tengahari 21 Mac 2012 mengikut kalendar pengurusan Kementerian Pelajaran Malaysia. Semakan keputusan SPM boleh dibuat terus melalui sekolah masing-masing ataupun melalui perkhidmatan semakan online dan Sistem Pesanan Ringkas (SMS).

Kami warga SMKTK mendoakan calon-calon SPM 2011 beroleh keputusan SPM yang baik.

Cara semak keputusan SPM dengan SMS

Bagi calon yang ingin menyemak keputusan SPM secara online, sila ikut langkah-langkah di bawah:

SPM Result No.Kad Pengenalan dan hantar ke 15888

Contoh:
  1. SPM Result 123456-04-1234
  2.  Hantar ke nombor 15888

Cara semak keputusan SPM secara online

Selain semakan melalui SMS, anda juga boleh menyemak keputusan SPM anda secara online dengan melayari laman web Majlis Peperiksaan Malaysia di link [mpm] ini.

08 March 2012

PROGRAM KELAS TAMBAHAN MASA CUTI MAC 2012

Cuti sekolah selama seminggu bakal menjelma. Namun murid-murid Tingkatan 3 dan Tingkatan 5 dikehendaki hadir ke kelas tambahan ini bermula pada hari Isnin 12 Mac hingga Rabu 14 Mac 2012. Semoga usaha ini memberi manfaat kepada murid-murid, pihak sekolah dan ibubapa.
  • Program ini berfokus kepada melengkapkan dan menyempurnakan kerja kursus mata pelajaran terpilih serta pengukuhan mata pelajaran tertentu.
  • Semua murid yang berkaitan dimestikan hadir ke kelas tersebut.
  • Guru-guru yang mengajar kelas-kelas pada tahun 2011 akan mengendalikan kelas ini.
  • Jika murid-murid  telah menyiapkan kerja kursus, guru-guru boleh mengajar topik-topik yang perlukan lebih tumpuan.
  • Sebarang pertukaran antara guru-guru sila maklumkan kepada murid-murid.arang pertukaran antara guru-guru dan pertanyaan sila hubungi Pn. Hjh. Arbaenah Bt Masud, GPK1 (012-7861204) atau Cikgu Hasan Kasmuri (013-7808577).
  • Program ini telah dipersetujui oleh Tuan Pengetua dan barisan Guru-guru Kanan Mata Pelajaran.
  • Semoga program ini berjaya dilaksanakan. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada guru-guru dan murid-murid yang menjayakan program ini.
  • Semua murid dikehendaki memakai pakaian seragam sekolah lengkap.

01 March 2012

LAWATAN DAN PEMANTAUAN OLEH PEGAWAI FAMA NEGERI JOHOR KE PROJEK FERTIGASI SEKOLAH KAMI

Hari ini En. Farid Bin Abu, Pegawai Penyelarasan Landang Kontrak FAMA Negeri Johor melawat dan memantau projek fertigasi sekolah kami. Beliau diiringi oleh pegawai FAMA Daerah Pontian, pegawai Pejabat Pertanian Pontian, pegawai MARDI, dan pegawai-pegawai Pertubuhan Peladang Kawasan. Pemantauan lebih kepada penyampaian maklumat penanaman dan maklumat penyakit tanaman pokok rockmelon projek kami. En. Azman Jalaluddin dari MARDI memberi maklumat mengenai kaedah mengatasi penyakit tanaman yang kami hadapi. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua atas lawatan ini.