31 August 2013

TAHNIAH. KITA NAIB JOHAN DALAM PERTANDINGAN KECERIAAN, PENCAHAYAAN DAN MENGIBARKAN JALUR GEMILANG SAMBUTAN HARI KEMERDEKAAN KE-56 PERINGKAT DAERAH PONTIAN.



Tahniah kami ucapkan kepada sekolah kami sendiri yang dinobatkan sebagai naib johan dalam pertandingan keceriaan, pencahayaan dan mengibarkan jalur gemilang sempena sambutan hari kemerdekaan ke-56 peringkat daerah Pontian. Hadiah berupa wang tunai RM1,000.00, piala iringan dan sijil. Hadiah disampaikan semasa perbarisan Hari Kemerdekaan di Stadium Mini bandar Pontian. Terima kasih kami ucapkan kepada Tuan Pengetua yang terus-terusan memberi galakan, Cikgu Hasan Kasmuri yang mengetuai persiapan, Cikgu Mohmad Hatta b Yahaya (bendera), En. Roslee b. Abd. Khair (pencahayaan), Cikgu Rafieah bt Md Rabidin (logo), 8 orang pelajar-pelajar Tingkatan 4 Landskap (pembantu sepenuh masa) dan pekerja swasta (kebersihan). Terima kasih juga kepada semua yang terlibat membuat persiapan.

PASUKAN KADET POLIS SMKTK MENYERTAI PERBARISAN HARI KEMERDEKAAN KE-56 PERINGKAT DAERAH PONTIAN


Pasukan Kadet Polis SMKTK telah menyertai perbarisan Sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke-56 peringkat daerah Pontian pada 31 Ogos 2013. Seramai 34 ahli dan 5 orang guru pengiring telah berada di Stadium Mini Pontian seawal pukul 7.00 pagi untuk sama-sama memeriahkan ulang tahun sambutan itu. Dengan penuh semangat kemerdekaan mereka berjalan sederap dengan lain-lain pasukan masuk dalam barisan di tengah padang stadium sambil memberi tabik hormat kepada VIP di grandstand. Terima kasih kami ucapkan kepada guru-guru dan ahli-ahli Kadet Polis....







SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-56


30 August 2013

SMK TELOK KERANG BERMANDI CAHAYA WARNA-WARNI PADA MALAM AMBANG KEMERDEKAAN K3-56

Cahaya berwarna-warni menyinari kawasan sekolah menjelang detik 12.00 malam sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia. Esok 31 Ogos 2013 adalah ulang tahun Kemerdekaan Malaysia ke-56. Ambang merdeka itu disambut dengan kehadiran lampu-lampu berwarna-warni dan kibaran banyak bendera Malaysia 'Jalur Gemilang' dan bendera negeri Johor yang di kibarkan di merata tempat di kawasan sekolah.

56 tahun yang lalu, di Stadium Merdeka, Tunku Abdul Rahman melaungkan Merdeka!Merdeka!Merdeka! Laungan ini disahut oleh penduduk Tanah Melayu yang bersama-sama dengan Tunku yang berasa sungguh terharu dan amat gembira akhirnya Tanah Melayu mencapai kemerdekaan selepas beratus tahun di bawah penjajah asing.

Tarikh 31 Ogos 1957 yang ulang tahunnya disambut eok cukup bermakna bagi rakyat negara ini kerana ia menandakan kita telah bebas daripada cengkaman penjajah British. Detik kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu diputuskan pada tanggal tarikh berkenaan selepas Perdana Menteri yang pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan beberapa pemimpin UMNO lain meminta pandangan Mufti Pulau Pinang ketika itu yang juga ahli falak, Sheikh Abdullah Fahim.

MERDEKA!  MERDEKA!  MERDEKA!
Malaysiaku Berdaulat Tanah Tumpahnya Darahku














 




 

MAJLIS MEMBACA SURAH YASIN DAN BERDOA ATAS KESEJAHTERAAN MALAYSIA YANG MERDEKA



Pagi ini bertempat di Dataran Nilam semua warga SMKTK yang beragam Islam berkumpul di dalam majlis membaca Surah Yasin dan sama-sama memanjatkan doa atas kesejahteraan Malaysia yang merdeka. Majlis diadakan sempena ulang tahun sambutan hari kemerdekaan Malaysia ke-56.

Doa kesejahteraan Malaysia dipimpin oleh Ustaz Sukri b Osman dan diaminkan oleh warga SMKTK yang beragama Islam. 

'Segala puji bagi Allah, Tuhan pemilik seluruh alam. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda serta para sahabat sekalian. 

Ya Allah, 

Kami bersyukur kepada-Mu dengan kesyukuran yang tidak terhingga. Kami memuji-Mu dengan pujian yang tidak terhingga diatas nikmat kemerdekaan, kemakmuran serta keselamatan Negara kami sehingga kami dapat hidup dalam keadaaan aman dan damai, makmur dan sejahtera. Dapat merancang dan melaksanakan segala rancangan demi kepentingan agama, bangsa dan Negara kami.

Ya Allah, Ya Aziz Ya Qahhar

Kami memohon kepada-Mu, jadikanlah sambutan perayaan bulan kemerdekaan Malaysia kali ke 56 ini dan hari-hari seterusnya sentiasaberada dalm taufik dan hidayah-Mu, ‘inayah serta ri’ayah-Mu, rahmat dan nikmat-Mu, berkat dan kelimpahan-Mu, pemeliharaan dan penjagaan-Mu, pengawasan dan perlindungan-Mu, keselamatan dan keamanan-Mu, kejayaan dan kemenangan-Mu, pertolongan dan bantuan-Mu juga sentiasa dalam kejayaan dan kecemerlangan, kemakmuran dan keselamatan, tanpa halangan dan gangguan.

Ya Allah, Ya Jabbar Ya Muntaqim

Jauhilah Negara kami daripada segala keburukan dan kejahatan, bala bencana, musibah dan penyakit, seteru dan musuh-musuh Negara, penderitaan dan kesusahan.

Ya Allah, hindarilah kami daripada api permusuhan , dendam kesumat, pertelingkahan pendapat, dan anasir-anasir negatif yang boleh merosakkan perpaduan di kalangan kami. Semoga kami dapat menyempurnakan tugas-tugas kami dengan kejayaan dan kecemerlangan.

Ya Allah Ya Rahman Ya Rahim

Jadikanlah nikmat kebebasan dan kemerdekaan Negara kami yang Engkau telah anugerahkan kepada kami sebagai satu nikmat yang berkekalan dan berterusan sehingga ke hari kiamat serta jadikanlah Negara kami ini sentiasa berada dalam keadaan aman dan damai, tenteram dan bahagia, bermaruah dan berdaulat, menjadi contoh dan ikutan di sepanjang zaman.

Ya Allah, ampunilah dosa dan kesalahan pejuang-pejuang kemerdekaan yang telah mewariskan sebuah Negara yang merdeka, aman, makmur dan sejahtera dan cucurilah rahmat dan keampunan kepada roh0roh pejuang kemerdekaan yang telah terkorban demi mempertahankan agama, bangsa dan Negara.

Ya Allah

Kurniakanlah taufik serta hidayah-Mu, perlindungan dan pemeliharaan-Mu, ri’ayah serta ‘inayah-Mu kepada Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan AgungAl-Muktasin Billah Muhibuddin Tuanku Al-Haj Abdul Halim Muazam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah dan Raja Permaisuri Agung, pegawai-pegawai kerajaan serta rakyat sekalian.

Ya Allah, sempurnakanlah urusan kami pada hari ini dan pada hari-hari yang seterusnya dengan kejayaan dan kecemerlangan.

Ya Allah, jadikanlah perhimpunan kami pada hari ini iaitu Majlis Sambutan Perayaan Bulan Kemerdekaan Kali Ke 56 Tahun 2013, satu perhimpunan yang dirahmati dan diberkati, dan jadikanlah perpisahan kami selepas ini suatu perpisahan yang diredhai dan mendapat perlindungan-Mu. Seterusnya berkatilah majlis ini dari awal hingga ke akhirnya. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih Maha Penyayang'.




















27 August 2013

STATISTIK SEKOLAH, MURID DAN GURU DI MALAYSIA PADA 30 JUN 2013

Bilangan Sekolah

Rendah              Menengah                Jumlah
7,744             2,347                10,091

 

Bilangan Murid (Enrolmen)

                                   Lelaki                        Perempuan
Prasekolah 97,295 94,877
Rendah 1,410,925 1,332,064
Menengah 1,145,718 1,174,569
Jumlah 2,653,938 2,601,510
Jumlah Keseluruhan: 5,255,448

 

Bilangan Guru

                                  Lelaki                         Perempuan
Rendah 72,162                  165,330
Menengah 55,433 122,379
Jumlah 127,595 287,709
Jumlah Keseluruhan: 415,304

Data seperti pada 30 Jun 2013

26 August 2013

KIBARKAN JALUR GEMILANG PADA SAMBUTAN KEMERDEKAAN MALAYSIA KE-56

Hari ini pelajar-pelajar terpilih bersama Cikgu Hasan b Kasmuri bertungkus-lumus mengibarkan Jalur Gemilang di kawasan sekolah. Mereka di bantu oleh Abang Roslee dan Abang Syafik mengibarkan Jalur Gemilang dan memasang lampu untuk pencahayaan sempena kedatangan bulan kemerdekaan.

Bulan Ogos dan September merupakan bulan-bulan bersejarah buat negara kita yang tercinta. Ogos adalah bulan kemerdekaan, manakala September merupakan hari Malaysia. Negara  kita mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, manakala penubuhan Malaysia pula ialah pada 16 September 1963. Ini bermakna pada tahun ini kita menyambut hari kemerdekaan negara ke-56 dan hari Malaysia yang ke-50.

Justeru, kedua-dua bulan ini dianggap sebagai bulan sambutan kemerdekaan. Apa jua acara dan aktiviti memperingati kemerdekaan sangat sesuai dilakukan sepanjang bulan kemerdekaan ini.

Antara aktiviti atau amalan yang boleh dikatakan sinonim dengan sambutan bulan kemerdekaan  ialah aktiviti kibar ‘Jalur Gemilang’, iaitu bendera rasmi negara. Bendera melambangkan kedaulatan, kemerdekaan dan kebebasan sesebuah negara. Ia juga memiliki makna ideologi bagi negara itu. Justeru, bendera adalah saksi sejarah terhadap kemerdekaan, kedaulatan dan kewujudan identiti kita sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat di pentas dunia. 

Sudah sewajarnya di seluruh pelosok tanah air, pada saat bulan kemerdekaan ini mengibarkan Jalur Gemilang di premis-premis bangunan, kediaman dan kenderaan. Memang benar mengibarkan bendera bukannya satu-satu cara untuk menunjukkan semangat patriotisme tetapi setidak-tidaknya sambutan kemerdekaan negara yang disambut setahun sekali itu dipamerkan melalui kemeriahan kibaran Jalur Gemilang. Apatah lagi jika ia dilakukan dengan penuh penghayatan terhadap erti sebuah kemerdekaan. Oleh itu, tradisi mengibarkan bendera kemegahan negara pada bulan kemerdekaan tidak seharusnya luntur dari sanubari rakyat negara ini.