26 October 2012

AIDILADHA DAN KISAH PENGORBANAN AGUNG NABI IBRAHIM ALAIHISSALAM

SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA.

Aidiladha atau Hari Raya Haji adalah merupakan salah satu di antara hari-hari yang besar dalam Islam yang mesti dibesarkan menurut selayaknya dengan takbir, bersembahyang sunat Hari Raya dan menyembelih binatang korban.

Sebagaimana yang kita maklumi Aidiladha mengandungi kisah sejarah agung iaitu Nabi Ibrahim Alaihissalam bersama isterinya Siti Hajar dan anaknya Nabi Ismail Alaihissalam dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala yang sepatutnya dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat dalam membina sahsiah diri dan seterusnya meraih kecemerlangan yang meliputi aspek jasmani dan rohani, duniawi dan ukhrawi. Kisah ini mengandungi nilai ketaatan dan kesabaran yang luar biasa yang tiada tolok bandingnya.

Dalam peristiwa itu, Nabi Ibrahim Alaihissalam telah diperintahkan Allah Subhanahu Wata'ala untuk membawa isterinya Siti Hajar bersama puteranya Ismail yang masih menyusu, meredah padang pasir yang luas dengan keadaan cuaca yang panas terik di waktu siang dan terlalu dingin di waktu malam dari Palestin menuju ke Mekah, yang jarak di antara kedua-duanya melebihi seribu batu. Betapa sulit dan susahnya perjalanan pada waktu itu, hingga akhirnya sampai di suatu tempat yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu Wata'ala iaitu di suatu lembah yang gersang yang tidak ada tumbuh-tumbuhan. Bayangkanlah betapa susahnya kehidupan mereka di tempat yang sedemikian tanpa ada sumber makanan dan minuman.

Kemudian demi untuk mematuhi perintah Allah Subhanahu Wata'ala, dengan perasaan sedih, baginda meninggalkan anak dan isterinya dalam keadaan hidup yang serba kekurangan dan suasana yang sunyi sepi untuk kembali ke Palestin. Betapa sedih dan cemasnya Siti Hajar ketika akan ditinggalkan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam seorang diri bersama dengan anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi sepi dari segala-galanya kecuali batu, gunung dan pasir. Ia lalu merintih dan menangis, memohon belas kasihan agar tidak ditinggalkan. Tetapi atas perintah Allah Subhanahu Wata'ala, Nabi Ibrahim Alaihissalam yakin bahawa Allah Subhanahu Wata'ala tidak akan membiarkan mereka berdua tanpa perlindungan, rahmat dan berkat-Nya. Sebelum meninggalkan anak dan isteri yang disayangi, Nabi Ibrahim Alaihissalam telah berdoa sebagaimana yang terkandung dalam firman Allah Subhanahu Wata'ala, Surah Ibrahim, ayat 37 tafsirnya:

"Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Mekah) yang tidak ada tanaman padanya, di sisi rumah-Mu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, mereka ditempatkan di situ supaya mereka mendirikan sembahyang dan memakmurkannya dengan ibadat. Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, supaya datang beramai-ramai ke situ dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur".

Akhirnya, berkat doa Nabi Ibrahim Alaihissalam dan berkat ketaqwaan dan kesabaran Siti Hajar, Mekah telah menjadi sebuah kota suci yang aman dan makmur, sentiasa dikunjungi oleh umat Islam dari seluruh pelusuk dunia sepanjang tahun untuk menunaikan haji, umrah dan ziarah.

Pengorbanan dan kesabaran Nabi Ibrahim Alaihissalam teruji lagi apabila Allah Subhanahu Wata'ala memerintahkannya untuk menyembelih anak kesayangannya Ismail sebagai korban. Alangkah hebatnya pengorbanan yang ditunjukkan oleh mereka berdua apabila Nabi Ismail sendiri menyatakan kepada ayahnya supaya melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh Allah Subhanahu Wata'ala itu tanpa ragu-ragu sambil berkata:

"Aku hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu agar ayah mengikatku kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah. Kedua, agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darahku yang dapat menyebabkan berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya. Ketiga, tajamkanlah parangmu dan percepatkanlah pelaksanaan menyembelih agar meringankan penderitaan dan rasa pedihku. Keempat, sampaikanlah salamku kepada ibuku, berikanlah kepadanya pakaianku ini untuk menjadi penghiburnya dalam kesedihan dan cenderahati serta kenang-kenangan baginya dari putera tunggalnya".

Kemudian Nabi Ibrahim memeluk Nabi Ismail Alaihissalam dan mencium pipinya lalu berkata: Bahagialah aku mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, berbakti kepada orang tua dengan ikhlas hati menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah Subhanahu Wata'ala.

Perkara ini merupakan satu ujian yang dahsyat dan menyayat hati kerana sejak muda lagi Nabi Ibrahim telah bercita-cita untuk memperolehi anak yang soleh. Tetapi setelah mendapat anak dalam usia yang lanjut, baginda diperintahkan pula untuk menyembelihnya dengan tangannya sendiri.

Saat penyembelihan yang mengerikan pun tiba, diikatlah kedua tangan dan kaki Nabi Ismail, dibaringkan di atas lantai, lalu Nabi Ibrahim pun mengambil parang tajam yang sudah tersedia. Sambil memegang parang di tangannya dengan kedua mata Nabi Ibrahim yang bergenang dengan air mata berpindah memandang dari wajah puteranya ke parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati baginda menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan kewajipan seorang rasul di lain pihak. Pada akhirnya dengan memejamkan matanya, parang diletakkan di leher Nabi Ismail dan penyembelihan pun dilakukan. Akan tetapi, parang yang sudah sedemikian tajamnya itu ternyata tidak dapat berfungsi sebagaimana semestinya. Apabila Nabi Ismail merasa bahawa parang itu tidak memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya: Wahai ayahku! Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku kerana melihat wajahku, cubalah telengkupkan aku dan laksanakanlah tugas tanpa melihat wajahku.

Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitis darah pun dari daging Nabi Ismail walau ia telah ditelengkupkan dan dicuba memotong lehernya dari belakang.

Dalam keadaan bingung dan sedih hati kerana gagal dalam usaha menyembelih puteranya, datanglah wahyu Allah kepada Nabi Ibrahim dengan firman-Nya dalam Surah Ash-Shaaffat, ayat 104-108 yang tafsirnya:

"Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan Kami kekalkan baginya nama yang harum dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian".

Kejadian tersebut merupakan suatu mukjizat dari Allah Subhanahu Wata'ala yang menegaskan bahawa perintah pengorbanan Nabi Ismail itu hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana rasa cinta dan taat mereka kepada Allah Subhanahu Wata'ala, dan inilah asal permulaan sunat berkorban yang dilakukan oleh umat Islam pada setiap Hari Raya Aidiladha di seluruh dunia.

Demikianlah kisah perjuangan dan pengorbanan agung yang dicontohkan oleh Nabi Ibrahim Alaihissalam dan keluarganya dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala dengan penuh kesabaran, keimanan dan ketaqwaan yang sememangnya sukar dilakukan oleh manusia biasa seperti kita. Oleh itu marilah kita menanamkan sifat ingin berkorban umpamanya berkorban wang ringgit, masa, fikiran, tenaga dan sebagainya dalam mentaati perintah Allah Subhanahu Wata'ala. Tetapi apa yang paling penting, setiap pengorbanan itu hendaklah disertai dengan keikhlasan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah Subhanahu Wata'ala.

Firman Allah Subhanahu Wata'ala dalam Surah Al Baqarah, ayat 124 tafsirnya:

"Dan ingatlah, ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa kalimah suruhan dan larangan, maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya. Setelah itu Allah berfirman : Sesungguhnya Aku melantikmu menjadi imam (pemimpin ikutan) bagi umat manusia. Nabi Ibrahim pun memohon dengan berkata : Jadikanlah juga apalah jua kiranya dari keturunanku pemimpin-pemimpin ikutan. Allah berfirman: Permohonanmu diterima, tetapi janji-Ku ini tidak akan didapati oleh orang-orang yang zalim".

SMKTK

Info SMKTK

Sekolah Pengajaran dan Pembelajaran Abad ke-21, Sekolah Bestari Luar Bandar Sekolah Lestari #belajaruntukberbakti #smktkcemerlang

Subscribe Blog ini melalui Email :