Model
pengajaran mengandungi unsur-unsur penting yang dapat memberi gambaran
tentang proses pengajaran. Pada masa dahulu, pengajaran dianggap sebagai
satu proses yang mudah iaitu pengajaran sebagai suatu penyampaian
pengetahuan daripada guru kepada murid. Situasi ini dinamakan proses
pengajaran sehala iaitu guru sebagai pengajar menyalurkan pengetahuannya
kepada murid yang menerima segala-galanya, seperti yang ditunjukkan
pada rajah di bawah.
Rajah 1 Proses Pengajaran Sehala |
Apabila
pengajaran sedemikian berlaku, guru merupakan sebagai individu yang
aktif manakala murid menerima secara pasif. Tidak terdapat sebarang
interaksi antara guru dengan muridnya. Tanpa interaksi antara guru
dengan muridnya, maka sukar untuk menentukan sama ada proses
pembelajaran telah berlaku atau tidak. Murid tidak diberikan peranan
aktif sebagai individu yang boleh menentukan pembelajarannya.
Namun
keadaan sekarang sudah jauh berubah daripada keadaan seperti itu.
Pengajaran lebih disifatkan satu proses yang dengan sengaja dirancangkan
dengan objektif dan isi yang dipilih khas untuk disesuaikan dengan
keperluan murid. Untuk menentukan proses pengajaran dan pembelajaran
berkesan, guru-guru haruslah mengambil pelbagai pertimbangan seperti
memilih model-model pengajaran yang boleh memberi kesan positif pada
pengajarannya di samping pemilihan kaedah, teknik dan pendekatan. Di
sini dibincangkan beberapa model pengajaran dan pembelajaran untuk
pertimbangan guru. Setiap model-model yang dicadangkan mempunyai
kekuatan tersendiri dalam membantu guru-guru dalam proses pengajarannya
(Mok Soon Sang, 2003).
Model Pengajaran Asas
Model
ini dikemukakan oleh Robert Glaser (1962). Model ini dianggap sebagai
model asas yang dapat menggambarkan proses pengajaran dan pembelajaran.
Model Glaser membahagikan proses pengajaran kepada empat bahagian
seperti dalam rajah berikut;
Objektif Pengajaran
Objektif
pengajaran ialah perlakuan yang hendak dicapai murid setelah mengikuti
sesuatu pengajaran. Ia merupakan pernyataan tentang perlakuan murid yang
dapat diperhatikan dan dapat diukur setelah langkah pengajaran
dijalankan. Pernyataan yang jelas tentang perlakuan murid yang hendak
dicapai membolehkan guru merancang langkah-langkah pengajaran dan
membuat penilaian ke atas keberkesanan pengajarannya.
Tingkah Laku Sedia
Tingkah
laku sedia murid merujuk kepada pengetahuan, kemahiran atau sikap yang
sudah ada pada seseorang murid. Penentuan tingkah laku sedia murid
membolehkan guru menilai sama ada objektif yang telah dirancang itu
sesuai atau tidak. Sesuatu pembelajaran baru akan menjadi lebih bermakna
sekiranya dikaitkan dengan pengalaman sedia ada murid, kebolehan serta
minat mereka.
Prosedur Pengajaran
Bahagian
ini menerangkan tentang proses pengajaran. Prosedur pengajaran berbeza
mengikut objektif pengajaran yang hendak dicapai. Bahan pengajaran dan
alat bantu mengajar dipilih supaya sesuai dengan objektif pengajaran.
Kaedah mengajar yang sesuai hendaklah dirancang supaya isi pelajaran
dapat disampaikan dengan berkesan. Aktiviti pengajaran seperti memberi
keterangan, menyoal, merangsang, menarik perhatian dilaksanakan di
peringkat ini. Murid juga terlibat dengan aktiviti pembelajaran seperti
memerhati, menumpukan perhatian , berbincang dan menyelesaikan masalah.
Penilaian Prestasi
Pada
peringkat ini, pemerhatian dan ujian-ujian dijalankan untuk menyemak
setakat mana murid telah mencapai objektif pengajaran. Dengan adanya
penilaian, guru mendapat maklum balas tentang hasil pengajarannya.
Sekiranya penilaian menunjukkan bahawa murid tidak mencapai tahap yang
memuaskan, maka guru perlu menyemak kembali setiap komponen dalam modul
pengajaran di atas. Jika perlu komponen yang didapati kurang tepat dan
sesuai perlu dikaji atau diubah suai. Contohya, kaedah pengajaran kuliah
dalam pembelajaran tidak difahami murid, maka guru perlu menukarnya
kepada kaedah perbincangan atau lain-lain yang memudahkan murid
menguasai isi pelajaran. Kekuatan model Glaser ini boleh dijadikan
panduan asas bagi guru dalam tugas mengajarnya. Bagaimanapun, model ini
boleh mejadi lebih bermakna sekiranya ditambah dengan unsur interaksi
guru-murid dan langkah-langkah pemulihan sekiranya perlu bagi
murid-murid tertentu.
Model Inkuiri
Pendekatan
inkuiri membolehkan murid menggunakan keperluan ingin tahu mereka untuk
meneroka sesuatu bidang ilmu. Matlamat dalam pendekatan ini adalah
mengembangkan kemahiran dan disiplin intelek yang perlu untuk
membangkitkan soalan dan mencari jawapan yang berpunca daripada rasa
ingin tahu mereka. Sesuatu pengajaran secara inkuiri dimulakan dengan
menyediakan satu situasi yang membingungkan. Individu yang menghadapi
situasi sedemikian (secara semula jadi) bermotivasi untuk menyelesaikan
masalah tersebut. Dalam model ini, terdapat lima fasa seperti rajah di
bawah:
Rajah 3 Lima Fasa Model Inkuiri
|
Keterangan model inkuiri :
Fasa 1: Fasa
satu, guru perlu mengemukakan situasi bermasalah dan menerangkan atur
cara inkuiri kepada murid. Pembentukan satu kejadian seperti menunjukkan
bagaimana sebatang pisau dibuat daripada dua jenis logam yang apabila
dipanaskan ia menjadi bengkok, memerlukan murid berfikir. Matlamat
akhirnya dalam pengajaran seperti ini adalah bertujuan untuk murid
mengalami pembentukan pengetahuan baru.
Fasa 2: Melibatkan pemeriksaan proses iaitu murid mengumpulkan maklumat tentang kejadian yang dilihat atau alami.
Fasa 3: Uji
kaji dijalankan oleh murid dengan memasukkan elemen-elemen baru dalam
situasi untuk melihat sama ada kejadian itu berlaku dengan cara lain. Di
sini murid mungkin bertanya tentang objek dan guru harus peka serta
sedar tentang jenis maklumat yang diperlukan dan mengubah corak
penyoalan.
Fasa 4: Guru
meminta murid menyusun data untuk membentuk satu keterangan. Mungkin
ada murid yang sukar untuk memahami maklumat dan membentuk pemahaman
mengenainya.
Fasa 5: Murid
diminta menganalisis corak inkuiri mereka. Mereka memerlukan soalan
yang berkesan, soalan yang produktif dan memerlukan maklumat lanjut
daripada guru.
Walaupun
model inkuiri digunakan pada mulanya dalam bidang sains, namun atur
caranya juga sesuai untuk semua bidang. Contohnya, kemahiran hidup,
bagaimana proses-proses tumbesaran pokok atau tanaman daripada hanya
sebutir biji benih yang kering, boleh dijadikan situasi yang
membingungkan murid.
Model Sim
Model
sim terdapat empat unsur penting dalam pengajaran iaitu guru, pelajar,
isi pelajaran dan objektif pengajaran. Unsur-unsur tersebut boleh
berinteraksi antara satu sama lain seperti dalam rajah berikut:
Rajah 4 Model Sim
|
Dalam
membuat persediaan pengajaran, model sim mengandungi elemen-elemen
guru, objektif dan isi pelajaran. Ia perlu dititikberatkan dengan
mengambil kira objektif yang hendak dicapai dan isi pelajaran yang
sesuai seperti rajah di bawah:
Rajah 5 Persediaan untuk Pengajaran Guru
|
Murid
menjadi fokus dalam pencapaian objektif pembelajaran. Dalam menentukan
objektif dan isi pelajaran , fakta murid seperti kebolehan dan
pengetahuan sedia ada murid perlu diambil kira. Isi pelajaran termasuk
media dan teknik digunakan untuk penyampaian isi pelajaran itu. Isi
pelajaran ditentukan oleh guru setelah mengambil kira tentang kebolehan
murid. Dalam setiap pengajaran, objektif dinilai dari segi pencapaiannya
oleh murid dan guru menggunakannya untuk memperbaiki pengajarannya.
Model Sim berfaedah kepada guru kerana membantu guru merancang
pengajarannya dengan mengambil kira unsur-unsur penting seperti
menentukan bahan, cara mengajar dan penilaian.
Model Pembelajaran Penguasaan
Bloom
(1968) merupakan pengasas kepada model pembelajaran ini. Model
Pembelajaran Penguasaan adalah suatu proses pengajaran yang boleh
digunakan apabila seseorang guru ingin mengajar semua isi kandungan
kepada murid di dalam kelas. Model ini memerlukan guru menstrukturkan
bahan pengajaran agar setiap murid dapat menguasai sesuatu bidang
mengikut masa dan keupayaan diri masing-masing. Model ini juga
mengutarakan fenomena ‘self-fulfiling prophecy’ iaitu murid percaya
bahawa semua orang boleh berjaya dan kebanyakan murid boleh mempelajari
apa yang diajar di sekolah.
Jadual 1 Jadual Pembelajaran Penguasaan |
Bagi
melaksanakan pembelajaran penguasaan, objektif pengajaran haruslah
jelas dan isi kandungan pengajaran dicerakinkan kepada beberapa bahagian
yang kecil. Isi pengajaran juga mestilah disampaikan mengikut
tahap-tahap individu dan dalam susunan tertib unit pembelajaran yang
meningkat. Di samping itu, penilaian secara individu perlu dibuat,
begitu juga pemantauan kemajuan murid.
Penilaian
diagnostik merupakan jenis penilaian yang kerap digunakan dalam
pembelajaran penguasaan. Guru diminta untuk membina dan mentadbir
ujian-ujian pendek untuk menentukan penguasaan objektif pembelajaran
harian oleh murid. Murid yang mempunyai 15% kesalahan akan mengulangi
tugasan mereka sehingga mereka mencapai penguasaan yang lebih tinggi.
Bagi membantu murid mencapai penguasaan isi kandungan, guru boleh
merancang kerja-kerja secara individu seperti bacaan khas, tugasan dalam
lembaran kerja dan permainan komputer. Selain itu, guru boleh
mengadakan tutorial rakan sebaya, kumpulan kecil pembelajaran dan
kumpulan permainan akademik. Bagi murid yang berjaya menguasai isi
kandungan, mereka akan diberikan tugasan-tugasan pengayaan.
Model Pembelajaran koperatif
Model
Pembelajaran Koperatif mengutarakan kerjasama di antara ahli-ahli dalam
kumpulan di samping meningkatkan pencapaian akademik murid. Terdapat
tiga matlamat utama dalam model ini iaitu:
- untuk memperbaiki kefahaman dan kemahiran murid yang diajar
- untuk membolehkan murid membentuk kemahiran kumpulan berkoperatif dan seterusnya menghormati perbezaan individu dalam kelas
- untuk membolehkan murid mementingkan nilai terhadap pembelajaran dan membentuk sikap positif terhadap murid pelbagai kaum
Jadual 2 Jadual Pembelajaran Koperatif |
Di antara teori-teori pendidikan dalam model ini ialah:
- ganjaran berkumpulan–murid belajar dalam kumpulan dan akan memperoleh faedah-faedah tertentu. Melalui pembelajaran berkumpulan, murid boleh bekerjasama dalam kumpulan masing-masing dan bersaing secara sihat dengan kumpulan lain.
- mengurangkan stereotaip–murid yang mempunyai peluang untuk bekerja dalam kumpulan dengan murid yang lain boleh mengurangkan sikap stereotaip mengenai ras, jantina, pelajar yang berpencapaian rendah atau cacat.
Hasil
daripada pembelajaran koperatif, didapati bahawa murid yang
berpencapaian tinggi boleh mencapai tahap kefahaman yang lebih tinggi
dalam proses membantu murid yang berpencapaian rendah. Model ini juga
dianggap boleh mewujudkan motivasi di kalangan murid khususnya mereka
yang berpencapaian rendah. Selain itu, mereka yang terlibat dalam
pembelajaran koperatif menunjukkan konsep kendiri yang tinggi.
Model Teori Pengajaran Dalam Amalan
Murid
yang diajar mengikut ‘teori pengajaran dalam amalan’ adalah berdasarkan
kepada Hunter (1991) . Beliau menyatakan bahawa pengajaran meliputi
suatu siri keputusan profesional yang mempengaruhi tahap pembelajaran
seseorang murid. Keputusan-keputusan ini adalah berkenaan dengan isi
kandungan pelajaran, bagaimana murid mencapai pembelajaran melalui
aktiviti tertentu dan tingkah laku guru yang spesifik dalam kelas.
Hunter
percaya bahawa konseptualisasi pengajaran dengan ketiga-tiga keputusan
tersebut boleh membekalkan suatu rangka rujukan . Ini bermakna keputusan
pengajaran dan tindakan boleh diterangkan, diinterpretasi, dibincang,
dinilai dan diperbaiki. Program Hunter memberikan suatu reka bentuk yang
mengandungi tujuh unsur untuk mengajar suatu pelajaran. Unsur-unsur
dalam pengajaran ini ialah:
- set jangkaan (anticipatory set) – membolehkan murid menjangka apa yang akan dipelajari
- objektif dan tujuan
- input – murid mendapat maklumat baru
- modeling – guru memberikan contoh-contoh, demonstrasi, idea,
- menguji kefahaman – guru menguji di celah-celah pelajaran
- latihan berpandu – murid berlatih dengan skala yang dipelajari dan diselia oleh guru
- latihan bebas – murid membuat tugasan yang diberi oleh guru tentang apa yang telah dipelajari secara bebas
Jadual 3 Jadual Teori Pengajaran dan Amalan |
Semasa
guru hendak membuat keputusan, guru tersebut haruslah membuat keputusan
berasaskan kepada pengajaran yang berkesan. Ini seterusnya memerlukan
guru memahami sains pengajaran kerana ini akan menjadi asas untuk guru
dalam membuat keputusan. Di samping itu, guru haruslah berkemahiran
untuk melaksanakan keputusan yang tepat. Model ini boleh dipraktikkan
dengan merancang soalan yang diperoleh daripada tiga jenis keputusan di
atas iaitu:
- Apakah yang murid akan belajar?
- Bagaimanakah murid akan belajar?
- Keputusan yang bersangkutan dengan kadar pembelajaran, pemindahan pembelajaran kepada situasi yang baru.
Model Pembelajaran Memproses Maklumat
Menurut
Lerner (2003) model pembelajaran memproses maklumat menerangkan
pengaliran maklumat semasa proses pembelajaran, iaitu bermula dari
penerimaan maklumat melalui proses di dalam otak sehinggalah
menghasilkan tindakan. Pusat kepada model pembelajaran memproses
maklumat ialah kepelbagaian bahagian sistem daya ingatan. Bahagian ini
mempunyai sistem penerimaan maklumat yang terbahagi kepada tiga jenis
ingatan iaitu:
- penerimaan daya deria-rangsangan
- daya ingatan jangka pendek
- daya ingatan jangka panjang
Daya Deria Rangsangan
Maklumat
diterima melalui daya rangsangan penglihatan, pendengaran, sentuhan,
bau dan rasa. Rangsangan yang diterima adalah sama ada secara dalaman
atau luaran. Teori memproses maklumat sangat penting kepada pengajaran
guru. Ini adalah kerana ia dapat membantu guru mengatasi masalah
ketidakupayaan pembelajaran murid mereka. Di samping itu mereka dapat
membuat perancangan terhadap pengajaran di dalam bilik darjah.
Daya Ingatan Jangka Pendek
Daya
ingatan jangka pendek dikenali juga dengan ingatan sementara. Apabila
melalui proses ini, seseorang itu akan mempunyai kesedaran untuk
memahami maklumat dan seterusnya bertindak balas terhadap maklumat yang
diterima. Apabila seseorang itu memikirkan masalah yang baru, maklumat
baru akan menggantikan maklumat lama. Kepentingan kepada pengajaran guru
ialah, guru boleh mengenal pasti maklumat yang disimpan oleh murid di
dalam jangka masa waktu yang diperlukan. Guru sepatutnya merancang
aktiviti bagi membolehkan isi pelajaran yang diajar bukan sahaja berada
di dalam daya ingatan jangka pendek murid, tetapi sebaliknya terus
disimpan di dalam ingatan jangka panjang.
Daya Ingatan Jangka Panjang Berkekalan
Daya
ingatan jangka panjang adalah berkekalan. Bagi mempelajari mengekalkan
maklumat yang diperolehi untuk satu-satu tempoh masa yang panjang,
maklumat perlu dialihkan dari ingatan jangka pendek kepada ingatan
jangka panjang. Terdapat dua jenis ingatan jangka panjang iaitu ingatan
makna dan pengalaman.
Kepentingannya
kepada pengajaran ialah, cara bagaimana maklumat disimpan di dalam daya
ingatan jangka panjang membantu kita untuk menggunakan maklumat apabila
diperlukan. Melalui teknik pengajaran yang jelas, sistematik dan
menggunakan kaedah yang menarik pasti dapat membantu murid mengingat
kembali isi pelajaran yang telah dipelajari. Strategi-strategi yang
dapat membantu murid meningkatkan daya ingatan jangka panjang mereka
ialah sistem penyusunan maklumat, menggunakan pengetahuan sedia ada dan
membuatkan maklumat yang diperolehi lebih bermakna.
Model Systematic Approach for Adapting the Learning Environmet (SAALE)
Model
SAALE telah diperkenal dan digunakan sejak awal tahun 1970an lagi. Ia
merupakan satu reka bentuk (design) di mana kandungan kurikulum mungkin
memerlukan perubahan (adaptasi) untuk membolehkan murid-murid kurang
upaya mendapat kurikulum pendidikan biasa . Untuk memenuhi matlamat
pendidikan kepada murid kurang upaya, maka Reauthorization of the
Individuals with Disabilities Education Act, 1997 (IDEA), telah
menyuarakan kepada sistem pendidikan sekarang supaya memberi peluang dan
akses yang lebih luas kepada pelajar kurang upaya (Wood 2002) . Lou
Danielson (1999), menegaskan kepada konsep “universal design” (satu
corak yang boleh diterima pakai oleh semua) sebagai amalan yang dapat
menolong kanak-kanak khas ini mencapai matlamat pendidikannya.
Penggunaan model SAALE ini telah memberi satu pencapaian bermakna
terhadap pendidikan dalam kepelbagaian populasi . Model ini adalah model
adaptasi. Ia mengandungi tiga komponen besar adaptasi iaitu:
- Adaptasi persekitaran
- Adaptasi pengajaran
- Adaptasi penilaian
Adaptasi Persekitaran
Adaptasi
persekitaran melibatkan guru melakukan pengubahsuaian persekitaran
sosioemosi, persekitaran tingkah laku dan persekitaran fizikal.
Adaptasi Persekitaran Pengajaran
Adaptasi
persekitaran pengajaran ialah ia melibatkan guru melakukan
pengubahsuaian terhadap perancangan pengajaran, teknik pengajaran,
format kandungan pengajaran dan media pengajaran.
Dalam
konteks adaptasi persekitaran pengajaran ini , model ini menekankan
bahawa seseorang guru haruslah melakukan penyesuaian yang spesifik yang
boleh dilakukan pada mana-mana titik atau tempat di mana murid
menghadapi kesukaran dalam teknik pengajaran, kemahiran pelajaran atau
kandungan pengajaran. Konsep ketidaksesuaian dalam pengajaran adalah
sangat penting difahami kerana ketidaksesuaian yang berlaku tidak
disebabkan oleh murid mahupun pendidik. Ketidaksesuaian hanyalah satu
keadaan apabila murid tidak berjaya kerana pendidik mempunyai harapan
dan sangkaan yang tidak sepadan dengan keupayaan anak didiknya. Sebagai
contoh muridnya tidak dapat menyalin di papan tulis, sedangkan guru
menyuruhnya menulis atau menyalin juga, maka berlakulah ketidaksesuaian.
Oleh sebab itu sebagai guru, kita mestilah mencari punca
ketidaksesuaian tersebut dan memperkembang dan mengimplementasikan
intervensi yang bersesuaian dengan murid.
Adaptasi
juga boleh dilakukan pada rancangan pengajaran yang memfokuskan kepada
satu sahaja objektif yang spesifik dan jelas, adaptasi teknik pengajaran
yang mementingkan informasi input iaitu , memberikan maklumat
bergantung kepada keupayaan murid itu, adaptasi format isi kandungan
yang tidak terlalu banyak, dan penggunaan media seperti audio visual dan
sebagainya.
Adaptasi Penilaian
Adaptasi
penilaian merangkumi penilaian murid dan penggredan. Adaptasi penilaian
bermaksud bahawa penilaian yang dilakukan adalah menyeluruh. Penilaian
kurikulum patut dilakukan dari masa ke semasa agar bersesuaian dengan
murid khas. Dalam hal ini, guru perlu memastikan aspek keadilan diambil
kira bagi memastikan semua murid mendapat faedah yang sama bagi
pelaksanaan suatu kurikulum itu.
Rajah 6 Model SAALE
|
Model Pembelajaran Masteri
Pembelajaran
Masteri adalah pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berfokus
kepada penguasaan murid dalam sesuatu perkara yang dipelajari. Melalui
pembelajaran masteri murid diberi peluang untuk maju mengikut kebolehan
dan kadar pembelajaran mereka sendiri serta dapat mempertingkatkan tahap
penguasaan pembelajaran.
Pembelajaran
Masteri (Hunter 1991) merupakan suatu pendekatan pengajaran dan
pembelajaran bagi memastikan semua murid menguasai hasil pembelajaran
yang dihasratkan dalam suatu unit pembelajaran sebelum ke unit
pembelajaran seterusnya. Pendekatan ini memerlukan proses pengajaran dan
pembelajaran yang terancang dan berkualiti serta berpandukan tahap
penguasaan murid. Model Pembelajaran Masteri dimulakan dengan penentuan
hasil pembelajaran, dan diikuti dengan pengajaran dan pembelajaran.
Tujuan menentukan hasil pembelajaran murid adalah untuk memastikan semua
murid berjaya menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diberikan dengan
kadar kemampuan biasa seseorang murid di tahap tersebut. Setelah dibuat
penilaian, murid yang telah menguasai akan diteruskan dengan aktiviti
pengayaan dan bagi murid yang belum menguasai akan diteruskan dengan
aktiviti pemulihan.
Dalam
Pembelajaran Masteri terdapat beberapa langkah yang perlu Dilaksanakan
oleh guru . Langkah tersebut digambarkan melalui model berikut:
Carta 1 Carta Pembelajaran Masteri |
Dalam pengajaran dan pembelajaran masteri, beberapa perkara perlu diketahui oleh guru. Antaranya:
- kebolehan dan keupayaan murid yang berbeza
- kaedah pengajaran dan pembelajaran yang berbeza
- kemudahan yang ada
- masa yang diperuntukan
Dengan mengetahui kebolehan dan keupayaan
murid yang berbeza, guru dapat merancang kaedah pengajaran yang juga
berbeza dan pelbagai bagi memudahkan murid menguasai ilmu yang
disampaikan. Dengan merujuk kepada kadar penerimaan dan kesanggupan,
murid akan dapat menguasai ilmu pada kadar kemampuan mereka. Untuk itu,
guru seharusnya mengenali murid mereka.
Model Ekspositori
Ekspositori
bermaksud memberi penerangan yang jelas dan terperinci. Dalam konteks
pengajaran, ekspositori merupakan penyampaian maklumat atau isi
kandungan pelajaran secara langsung kepada murid-murid di dalam kelas.
Oleh itu, kaedah ekspositori ialah cara penyampaian pelajaran melalui
penerangan, bercerita atau demonstrasi dengan tujuan mengajar sesuatu.
Dalam model ini, guru memberi penerangan terlebih dahulu dan murid
mendengar dengan teliti hingga mereka memahami dan mengingatinya atau
merekodkan isi pentingnya dalam buku nota mereka.
Rajah 7 Model Ekspositori
|
Cara-cara penyampaian dengan menggunakan model ekspositori adalah dihuraikan seperti berikut:
- menerang, menginterpretasi dan menghuraikan idea dan konsep daripada buku teks.
- menerangkan sambil mendemonstrasikan cara melukis atau membina bentuk -bentuk geometri.
- menerangkan langkah-langkah penyelesaian masalah berdasarkan kemahiran -kemahiran yang telah dipelajari.
- menerangkan sesuatu konsep dengan alat bantu mengajar.
Penghargaan dan terima kasih kepada Pomizi Resources.Com